Menteri, sila jaga etika - Annuar Musa

Annuar
Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri kabinet Kerajaan Perpaduan diingatkan untuk menjaga etika yang sepatutnya ketika menyandang jawatan tersebut.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia termasuk tidak membuat ugutan terhadap orang awam yang dilihat cuba menyekat hak bersuara dan bertindak provokatif dengan penjawat awam.

Ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut, pada minggu lalu terdapat dua insiden yang tidak seharusnya berlaku dan ia menjejaskan kewibawaan kerajaan memerintah.

“Insiden pertama melibatkan seorang menteri yang di dalam siaran langsung di media sosial telah memberi amaran kepada netizen dan mengugut untuk menghantar kereta peronda polis ke rumah netizen yang membuat komentar tidak baik sepanjang sesi tersebut.

“Ugutan seperti ini bukan sahaja dilihat cuba menyekat hak bersuara, malah satu bentuk salah guna kuasa berunsur ‘draconian’, sedangkan proses pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaannya mempunyai tatacara tertentu, bukan secara semberono mengikut selera menteri.

“Sekiranya ada kesalahan dilakukan netizen, satu laporan perlu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan, bukannya sewenang-wenangnya mengarahkan kereta peronda polis ke rumah rakyat dan melakukan intimidasi sesuka hati,” katanya dalam satu hantaran kenyataan pada Selasa.

Annuar menambah, insiden kedua melibatkan kekecohan yang dilaporkan berlaku melibatkan seorang menteri dengan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dari sudut etika, amat tidak kena bagi seorang menteri untuk melayan penjawat awam sedemikian rupa apatah lagi jika pegawai itu bukan di bawah portfolio kementeriannya.

“Sekiranya ada perkara yang mengakibatkan rasa tidak puas hati menteri tersebut, dia seharusnya merujuk rakan sejawat yang bertanggungjawab dalam portfolio tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Justeru, Annuar dalam kenyataan berkenaan mengingatkan bahawa Malaysia bukan negara ketiga yang mana-mana setiap perbuatan menteri adalah absah.

Jelasnya, negara punya aturan dan prosedur menjaga pengasingan serta pembahagian kuasa yang tertib bagi menjaga kepentingan sejagat.