SPRM tahan dua individu palsukan dokumen kontrak kantin

SPRM Sabah menahan dua individu kerana disyaki memalsukan dua dokumen penting bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin. - Gambar hiasan
SPRM Sabah menahan dua individu kerana disyaki memalsukan dua dokumen penting bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin. - Gambar hiasan
A
A
A

SANDAKAN - Dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki memalsukan dua dokumen penting bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini.

Kedua-dua individu masing-masing lelaki berusia 40-an dan wanita berusia 20-an yang juga pemilik syarikat ditahan kira-kira jam 9.40 pagi Khamis di Pejabat SPRM cawangan Sandakan ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek melakukan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kontrak itu bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2021.

Hasil daripada pemalsuan dokumen tersebut, kedua-dua suspek telah memperoleh tender kantin sekolah membabitkan nilai kontrak kira-kira RM30,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 dan 109 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Artikel Berkaitan: