Menteri harus jadi contoh kepada rakyat - Akmal

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Kamu perlu ingat, kamu adalah menteri, bukan penjual bak kut teh”.

Demikian teguran Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berhubung dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung wujud budaya rasuah melibatkan anggota imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dr Akmal berkata, tuduhan yang dibuat terhadap badan penguatkuasaan itu merupakan satu perkara yang berat selain ia memerlukan penjelasan pihak imigresen dan siasatan pihak berwajib.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, menteri seharusnya menjadi contoh kepada rakyat berhubung segala tindakan yang diambil.

“Bila beliau (King Sing) masuk sesuka hati kemudian marah pegawai imigresen tanpa asas dan bukti kukuh jadi saya nak tanya adakah ini boleh dilakukan?

“Ini menimbulkan imej yang tidak baik di mata rakyat jadi seorang menteri dia (King Sing) sepatutnya tahu apakah garis panduan yang perlu dilakukan bukan masuk dan hentam dan marah pegawai imigresen.

“Kalau menteri pun tidak boleh ikut aturan sebenarnya macam mana kita nak minta rakyat ikut peraturan... bila dapat aduan menteri nak siasat tetapi dengan cara yang salah.

“Menteri tak boleh nak lakukan sesuka hati. Dia ada garis panduan dan kena tahu bidang kuasa menteri... dia menteri jadi boleh bawa (isu) ke mesyuarat kabinet dan sampaikan terus kepada menteri KDN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Sementara itu, menerusi kenyataannya, Dr Akmal juga mempersoal berhubung isu wanita warga China itu yang dikatakan berdepan sekatan untuk memasuki negara ini.

“Adakah notis NTL (Not To Land) telah dikeluarkan keatas individu yang ditahan atas faktor dokumen tidak lengkap?

“Jika notis NTL itu telah dikeluarkan, adakah ia ditarik balik setelah campur tangan pihak ketiga?

“Dan jika ditarik balik, atas faktor apakah ia ditarik balik?

Adakah dari kesilapan pegawai yang mengeluarkan notis NTL sebelum itu?

Ataupun secara tiba-tiba dengan campur tangan pihak ketiga menjadikan dokumen individu ditahan itu terus menjadi lengkap?” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyarankan Jabatan Imigresen agar membuat laporan polis sekiranya tohmahan itu tidak berlaku selain ia penting untuk menjaga kredibiliti jabatan itu dalam kalangan masyarakat.

Sebelum itu, King Sing menuntuk Ketua Pemuda UMNO itu untuk membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap menteri itu.

Ini termasuk tindakan untuk melucutkan jawatannya sebagai menteri berdasarkan kenyataan Akmal yang dibuat menerusi media sosial.

Pada Khamis, gambar kekecohan itu tular di media sosial yang menyatakan menteri terbabit telah menceroboh masuk ke ruang ketibaan antarabangsa tanpa memiliki pas keselamatan. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution