[VIDEO] Dua beranak dituduh pecah amanah, salah guna dokumen

Kedua-dua tertuduh diiring polis ketika tiba di mahkamah.
Kedua-dua tertuduh diiring polis ketika tiba di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan pecah amanah dan menggunakan dokumen palsu tujuh tahun lalu.

Tertuduh Wong Yew Loong, 44, dan Lim Siew Kin, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembekal pasir dan juga seorang ejen telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta yang diamanahkan ke atasnya iaitu dua bidang tanah iaitu PN 44192 Lot 5802 dan PN44193 Lot 5803 di Mukim Linggi, Port Dickson.

Perbuatan itu dilakukan pada 8 Disember 2015, antara jam 11 pagi sehingga 2 petang di alamat Taman Rasah Jaya di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Selain itu tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu resolusi pengarah syarikat bertarikh 8 Disember 2015 untuk dua bidang tanah tersebut yang diketahui adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian di Seremban pada 14 Februari 2017, antara jam 10.16 pagi sehingga 10.21 pagi

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir memohon jaminan RM200,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira nilai tanah terbabit yang masing-masing berjumlah RM600,000 dan RM500,000.

Peguam, Cassandra Peter merayu jaminan RM5,000 untuk kedua-dua anak guamnya.

Norshila kemudian menetapkan jaminan RM100,000 untuk Yew Loong manakala RM20,000 untuk Siew Kin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali setiap minggu.

Tarikh untuk serahan dokumen 14 November ini.