Karnival STEM terap budaya saintifik, kreatif, inovatif

Abdul Aziz dan Yuserrie bergambar bersama pelajar pada Majlis Perasmian Karnival STEM UMP 2022 di Dewan Serba guna UMP Pekan pada Rabu.
Abdul Aziz dan Yuserrie bergambar bersama pelajar pada Majlis Perasmian Karnival STEM UMP 2022 di Dewan Serba guna UMP Pekan pada Rabu.
A
A
A

PEKAN - Penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berteraskan kepada pembelajaran bersepadu dalam bidang itu dapat membantu meningkatkan daya saing pelajar dalam bidang sains serta teknologi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pendidikan STEM menjadi keutamaan pihak sekolah dan universiti ke arah memartabatkan serta memperkukuhkan bidang itu kepada generasi akan datang.

Menurutnya, pendidikan STEM menekankan konsep berpandukan komponen 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Pembangunan komponen ini dilihat dapat membantu melahirkan generasi muda kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.

"Selain itu, ia juga selari dengan tuntutan Industri 4.0 yang memerlukan generasi berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival STEM UMP 2022 di Dewan Serba guna UMP Pekan di sini pada Rabu.

Karnival tersebut menarik minat lebih 1,000 pelajar sekolah sekitar negeri Pahang.

Turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, UMP telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu meningkatkan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI), data besar robotik, kod, dron dan bidang teknologi baharu.

“Melalui bidang STEM sebagai bidang ilmu berpaksikan teknologi, sudah tentu program ini dapat membudayakan nilai, melihat aplikasi serta menanam sikap ingin mengetahui tentang ciptaan sesuatu inovasi itu,” katanya.

Menurutnya, komitmen UMP melestarikan program STEM, menghasilkan penyelidikan dan menyumbang teknologi untuk masyarakat amat dihargai.

Sementara itu,Yuserrie berkata, dalam era moden ini, perkembangan teknologi sentiasa berlaku dalam aspek kehidupan.

"Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi, UMP melihat STEM sebagai platform terbaik untuk memperkasakan agenda tersebut.

"Melalui bidang itu, dapat menarik minat pelajar untuk menjadikan UMP sebagai institusi pilihan untuk menyambung pengajian kelak," katanya.