Tren penurunan daya saing Malaysia beri petanda buruk - Pakar

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan daya saing Malaysia yang semakin menurun disifatkan sebagai tren jangka panjang yang jelas dan berisiko memberi petanda tidak baik untuk negara.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kadar tukaran ringgit pada Jumaat yang mencecah RM4.63 per dolar AS merupakan penyusutan ringgit yang membimbangkan.

Menurutnya, perkembangan itu sekali gus menunjukkan daya saing negara yang semakin menurun dan memerlukan perhatian khusus serta bersungguh-sungguh untuk pemulihan kedudukan ekonomi Malaysia.

“Dalam tempoh 13 tahun, kedudukan daya saing Malaysia berganjak dari kelas belasan, ke kelas dua puluhan dan kini kelas tiga puluhan! Ini tanggapan dunia terhadap kita.

“Penurunan sebegini bukan kejatuhan sementara, bukan bermula dari tahun lepas. Bukan sebab pandemik Covid-19.

“Ia bersifat tren jangka panjang menurun yang jelas. Petanda yang tidak baik. Semua mesti bertindak bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melakukan tindakan yang menyeluruh dengan penglibatan semua pihak, dan tidak lagi terus leka dalam usaha mengukuhkan daya saing negara.

“Apa bidang fokus kita? Apa tindakan dan perubahan yang akan dilaksanakan? Apa sasaran yang hendak dicapai? Siapa yang akan menerajui setiap fokus? Siapa yang memantau? Siapa yang melapor? Tindakan secara berasingan, menangani secara rencah, masing-masing, tidak berkesan.

“Kita perlu ‘comprehensiveness of actions', semua pihak. Saling menyokong. Saya yakin kita belum terlewat dengan syarat bertindak dari sekarang,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak akan rugi sekiranya negara terkeluar dari liga persaingan global.

“Bukan masa berbalah salah siapa. Masa bertindak, bersungguh dan komited memperbetulkan struktur ekonomi negara. Bukan pemulihan tetapi penstrukturan,” katanya.