Apa pendirian Pas sebenarnya?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini Merak Jalanan pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan selepas kali terakhir pulang pada ‘hari raya terkejut’, 2 Mei lalu.

Suasana di negeri jajahan Pas itu sama sahaja seperti sebelum-sebelumnya. Tiada beza langsung walaupun pulang setahun dua kali.

Cuma sewaktu minum teh dan makan nasi berlauk di sebuah wakaf, terdengar perbualan anak muda kampung yang bicaranya berkisarkan tentang persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama seperti yang dimaklumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 1 Oktober lalu.

Mereka diberitahu untuk siap sedia hadapi PRU15 yang akan diadakan tidak lama lagi. Malah, semua pemimpin dan ahli parti itu dikehendaki menjaga disiplin parti dengan menerima segala keputusan dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak serta Jawatankuasa Kerja Pusat atas dasar taat yang tidak berbelah bahagi.

Bersemangat anak muda tersebut merangka gerak kerja yang harus dilakukan bagi memastikan ahli Parlimen mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang itu kekal berkuasa.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tiada keperluan disegerakan.

Menurut Abdul Hadi, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

Hairan pula Merak Jalanan memikirkannya kerana tiga hari sebelum itu mahu jentera bersiap sedia tetapi kali ini lain pula nadanya.

Artikel Berkaitan:

Terkenang apa yang difikirkan oleh anak muda kampung sebelum ini. Boleh pening kepala dengan pucuk kepimpinan Pas rasanya.

Bagi Merak Jalanan, setakat ini tiada langsung pendirian Pas dapat dilihat kukuh sama ada mahu PRU segera atau mahu bersama BN, atau Perikatan Nasional. Adakah minggu depan, baru jelas pendirian sebenar Pas?