Speedy Tigers atasi Perancis

Antara aksi menarik The Speedy Tigers menentang Perancis dalam Siri Jelajah Belgium 2022 di Kelab Hoki Waterloo Ducks, pada Rabu. FOTO: Malaysian Hockey Confederation
Antara aksi menarik The Speedy Tigers menentang Perancis dalam Siri Jelajah Belgium 2022 di Kelab Hoki Waterloo Ducks, pada Rabu. FOTO: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

THE Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj melabuh tirai Siri Jelajah Belgium 2022 dengan noktah kemenangan apabila menewaskan Perancis, 4-2 di Kelab Hoki Waterloo Ducks, pada Rabu.

Gol The Speedy Tigers dijaringkan Muhammad Razie Abd Rahim menerusi dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan 54.

Sementara dua gol lagi disumbangkan Muhammad Aminuddin Mohd Zain yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-28 manakala satu lagi gol dijaringkan Muhamad Ramadan Rosli menerusi gol padang minit ke-45.

Dalam pada itu, Arul menegaskan banyak perkara positif dipelajari para pemainnya termasuk pengalaman ketika berdepan pasukan utama Belgium.

“Banyak yang pasukan kami pelajari dalam siri jelajah ini terutamanya bertemu pasukan di ranking kedua dunia, Belgium. Intensiti permainan yang tinggi, tempo perlawanan dan bermain di bawah tekanan.

“Untuk perlawanan hari ini, Perancis memperoleh 16 kelebihan pukulan sudut penalti dan mereka menjaringkan dua daripadanya sementara kami memiliki enam pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga gol.

“Perancis lebih banyak mencipta peluang jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan perkara ini yang perlu untuk terus diperbaiki,” katanya.

Tambah Arul, tempo perlawanan yang ditunjukkan pada Rabu juga cukup baik apabila pemain bermula dengan tenaga yang cukup tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kami ketinggalan terlebih dahulu, pemain bangkit mengejar dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

“Siri jelajah ini ditutup dengan baik dan kami akan terus memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan yang telah dikenal pasti agar kami lebih selesa untuk membuat keputusan dengan lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, The Speedy Tigers akan tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, sebelum menyambung kembali kem latihan untuk Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh pada 1 hingga 10 November depan.