ACT: Speedy Tigers tundukkan Jepun, tempah slot ke separuh akhir

Skuad hoki lelaki kebangsaan segera melupakan kekalahan besar kepada tuan rumah India 0-5 semalam dan menumpaskan naib juara edisi lepas, Jepun, 3-1.
Skuad hoki lelaki kebangsaan segera melupakan kekalahan besar kepada tuan rumah India 0-5 semalam dan menumpaskan naib juara edisi lepas, Jepun, 3-1.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki kebangsaan segera melupakan kekalahan besar kepada tuan rumah India 0-5 semalam dan menumpaskan naib juara edisi lepas, Jepun, 3-1, pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India hari ini.

Kemenangan ketiga diraih Speedy Tigers pada aksi di Stadium Mayor Radhakrishnan itu sekali gus menyaksikan mereka mengesahkan slot ke separuh akhir ACT 2023.

Anak buah A Arul Selvaraj yang menampilkan corak permainan pantas sejak wisel ditiup pada suku pertama perlawanan membuka tirai jaringan menerusi tonggak pertahanan Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Bagaimanapun, pasukan negara berdepan saat mendebarkan apabila pengadil You Hyosik pada mulanya membatalkan gol tersebut selepas Muhammad Najmi didapati melepaskan pukulan berbahaya ke dalam gawang gol lawan sebelum rujukan video membuktikan sebaliknya.

Jepun yang dilihat lebih agresif pada suku kedua perlawanan hampir menyamakan kedudukan namun penjaga gol negara Mohd Zaimi Mat Deris menggunakan kaki untuk menafikan percubaan Kaito Tanaka pada minit ke-25.

Pasukan negara kemudian berjaya menggandakan jaringan pada suku ketiga perlawanan hasil jaringan padang penyerang Mohamad Ashran Hamsani dengan memanfaatkan hantaran Mohd Fitri Saari menerusi satu gerakan menarik pada minit ke-37.

Speedy Tigers yang mendominasi suku terakhir permainan melebarkan kedudukan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-59 manakala Takuma Niwa pula menghadiahkan gol sagu hati buat Jepun di penghujung perlawanan.

Skuad kebangsaan kini mengumpul sembilan mata untuk merampas kedudukan teratas daripada India yang kurang satu perlawanan dengan enam mata diikuti juara bertahan Korea Selatan (lima mata), Pakistan (dua mata), Jepun (dua mata) dan China di kedudukan tercorot (satu mata).

Speedy Tigers yang memulakan kempen ACT 2023 dengan menumpaskan Pakistan 3-1, Khamis lepas diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, sehari selepas itu bakal melengkapkan saingan kumpulan berdepan Korea Selatan, Rabu ini.

Edisi ketujuh ACT yang mengikut format round robin menyaksikan hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ACT adalah meraih tempat ketiga sebanyak lima kali iaitu pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018. - Bernama.