Pandemik Covid-19 beri ruang sertai pelbagai pertandingan

Mohd Shir Afzal Khan (kiri) dan Zubidah.
Mohd Shir Afzal Khan (kiri) dan Zubidah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pandemik Covid-19 bukanlah penghalang malah memberi ruang kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur untuk menyertai pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pengetuanya, Zubidah Md Yunos Aap berkata, penyertaan itu juga berjaya melakar kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Bagi kami pandemik ini beri ruang pada sekolah untuk melibatkan diri sertai semua pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebab semasa pandemik banyak pertandingan diadakan secara maya.

'Ikutkan sepanjang tahun ini sahaja difahamkan lebih kurang 12 pertandingan dimenangi sekolah di peringkat antarabangsa melibatkan pelbagai pingat seperti emas, perak dan gangsa.

"Kebanyakan pertandingan yang disertai ini berkaitan inovasi dan sains. Baru-baru ini, kita menerima anugerah khas dan meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam pertandingan Olimpiade Kimia di Bali, Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) di Hotel Concorde Shah Alam di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, memenangi ASSSB dalam kategori Sekolah Menengah Bandar anjuran bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari.

Jelas Zubidah, pandemik Covid-19 yang melanda negara tidak pernah melemahkan semangat guru, murid serta warga sekolah untuk meneruskan kelangsungan dalam bidang pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pentadbir sekolah sentiasa berusaha untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Selain itu, guru-guru tanpa jemu bersikap positif dan proaktif menimba ilmu baharu dalam penggunaan teknologi digital untuk tujuan PdPR," katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Dipang di Perak, Mohd Shir Afzal Khan Mohd Tamin melahirkan rasa syukur dan gembira apabila sekolahnya memenangi ASSSB dalam kategori kategori Anugerah Khas Juri anjuran bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari.

"Inilah satu platform yang terbaik untuk kami memperkenalkan SK Pos Dipang, sebuah sekolah mempunyai murid orang asli kepada masyarakat luar mengenai aktiviti, program yang telah kami laksanakan serta kejayaan dan pencapaian yang diperoleh.

"Kita harap dengan perkongsian ini dapat memberi inspirasi dan semangat kepada sekolah lain untuk sama-sama mempertingkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti," katanya.

Beliau menambah, anugerah yang diperoleh ini akan dimanfaatkan untuk kemenjadian murid SK Pos Dipang dari sudut akademik, sahsiah dan kokurikulum selain ada beberapa perancangan yang diatur untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah pada masa hadapan.