Pengarah urusan, CEO hadapi 150 tuduhan ubah wang haram

Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan terhadap mereka.
Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan terhadap mereka.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan menghadapi 150 pertuduhan kerana terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang lebih RM300 juta.

Mohd Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, didakwa secara berasingan atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram antara 2018 hingga 2020.

Dalam prosiding di dua mahkamah berasingan, Mohd Nasri menghadapi 118 pertuduhan manakala Abdul Wahab menghadapi 30 pertuduhan.

Bagaimanapun, Abdul Wahab turut mempunyai dua pertuduhan yang dibaca bersama isteri, Resool Bivi Yusof Gini, 50, dan anaknya, Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, melibatkan kesalahan sama.

Kesemua pertuduhan tersebut dilakukan di beberapa buah bank di seluruh negara termasuk Pulau Pinang.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadap mereka dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Jeffrey Ong menawarkan wang jaminan RM50,000 serta seorang penjamin terhadap Abdul Wahab manakala RM25,000 terhadap Nur Hafeezah dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mohamad Khalid Karim bersetuju dengan tawaran Harris Ong itu dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Ketiga-tiga beranak itu diwakili peguam, Mashitah Jamaluddin.

Sementara itu, Mohamad Khalid menetapkan wang jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap Mohd Nasri yang diwakili S Raveentharan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Abdul Wahab dikenakan wang jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin manakala Resool Bivi dikenakan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagi Mohd Nasri pula, tertuduh dikenakan wang jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan tarikh sama iaitu 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Abdul Wahab dan Mohd Nasri menghadapi 60 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah untuk tujuan pelaburan sejak tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas pelbagai pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada tiga mangsa antara April 2019 dan 14 Februari 2020.