Pengarah urusan, CEO syarikat pelaburan didakwa 60 pertuduhan

Kedua-dua tertuduh (dua dari kiri dan dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Khamis.
Kedua-dua tertuduh (dua dari kiri dan dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan menghadapi 60 pertuduhan kerana menerima deposit tanpa lesen yang sah untuk tujuan pelaburan sejak tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, yang masing-masing menghadapi 30 pertuduhan melibatkan kerugian RM750,000 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini.

Di Mahkamah Sesyen 1 di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, Mohd Nasri didakwa atas 16 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah dan tiga pertuduhan bersubahat bersama Abdul Wahab menerima deposit tanpa lesen yang sah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nasri didakwa menerima deposit berjumlah RM430,000 tanpa lesen yang sah untuk tujuan pelaburan antara tempoh April 2019 dan 14 Februari 2020, melalui deposit tunai daripada tiga mangsa di beberapa buah bank di pelbagai lokasi di Pulau Pinang (pulau dan tanah besar) serta di Selangor.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan bersubahat dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad memohon jaminan ditetapkan dengan jumlah jaminan antara RM10,000 hingga RM40,000 berdasarkan jumlah transaksi yang dibuat.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, S Raveentharan meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana keadaan kesihatan dan tanggungan anak guamnya selain tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Noor Aini menetapkan ikat jamin berjumlah RM117,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan meminta Mohd Nasri menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sementara Abdul Wahab pula didakwa dengan satu pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah dan 10 pertuduhan bersubahat bersama Mohd Nasri menerima deposit tanpa lesen yang sah.

Mengikut pertuduhan, Abdul Wahab didakwa melakukan semua kesalahan itu antara April 2019 hingga 14 Februari 2020 melalui deposit tunai daripada tiga mangsa di beberapa buah bank pelbagai lokasi di Pulau Pinang serta Selangor.

Dia dituduh di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pertuduhan untuk bersubahat dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Nur Fazliyana memohon wang jaminan antara RM10,000 hingga RM40,000 berdasarkan pelbagai jumlah tunai yang didepositkan oleh tiga mangsa.

Peguam, Muhamad Sharulnizam Md Roni yang mewakili Abdul Wahab memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri, lima orang anak serta keadaan kesihatan yang kurang baik.

Hakim Noor Aini kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM71,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Mohd Nasri menghadapi 11 lagi pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah daripada tiga mangsa antara April 2019 dan 14 Februari 2020 di pelbagai lokasi di Pulau Pinang dan Selangor.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunus oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun.

Manakala Abdul Wahab menghadapi 19 pertuduhan iaitu satu kerana menerima deposit tanpa lesen yang sah dan 18 pertuduhan bersubahat bersama Mohd Nasri menerima deposit tanpa lesen yang sah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu antara April 2019 dan 14 Februari 2020 melalui deposit tunai daripada tiga mangsa di beberapa bank pelbagai lokasi di Pulau Pinang dan Selangor.

Dia dituduh di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kesalahan bersubahat dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Qatrin memohon agar wang jaminan RM10,000 untuk setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh.

Hakim Norhayati kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM55,000 terhadap Mohd Nasri dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Abdul Wahab pula dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM95,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditangguh sehingga 1 Ogos untuk serahan dokumen.