Nafas agih RM1 juta bantuan bencana

Zamri (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM50,000 kepada wakil PPK Baling untuk diagihkan secara berperingkat kepada mangsa yang terjejas banjir di Baling Julai lalu.
Zamri (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM50,000 kepada wakil PPK Baling untuk diagihkan secara berperingkat kepada mangsa yang terjejas banjir di Baling Julai lalu.
A
A
A

BALING - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menyalurkan hampir RM1 juta peruntukan bencana di bawah Tabung Kumpulan Wang Nafas sejak Januari hingga September tahun ini.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, jumlah itu membabitkan hampir 5,000 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara yang berdepan bencana.

Menurutnya, selain diberikan kepada mangsa banjir, peruntukan turut merangkumi ahli yang mengalami musibah lain seperti ribut, wabak, kemarau dan kebakaran.

Zamri menyampaikan sumbangan kepada ahli yang terjejas banjir di Baling Julai lalu.
Zamri menyampaikan sumbangan kepada ahli yang terjejas banjir di Baling Julai lalu.

"Ini menunjukkan keprihatinan Nafas untuk membantu ahli tidak kira bencana apa yang mereka alami," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ahli PPK yang terjejas banjir di Baling, Julai lalu.

Menurut Zamri, program tanggungjawab sosial korporat itu diharap dapat meringankan beban ditanggung ahli yang dilanda musibah dan kerugian bukan sahaja akibat kemusnahan tanaman atau ternakan malahan kerosakan harta benda.

"Nafas di peringkat induk sentiasa melihat keperluan ahli yang perlu diberi bantuan dengan sumbangan sewajarnya.

"Kita menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk wang tunai, bekalan barangan keperluan dan tenaga bagi menjayakan misi pasca bencana melalui kolaborasi dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam memastikan kediaman ahli atau premis PPK yang terjejas dibantu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, seramai 50 mangsa terjejas banjir di Baling menerima sumbangan sebanyak RM200 seorang.

Sumbangan berkenaan ialah lanjutan daripada bantuan yang disalurkan pada Julai lalu, diagihkan secara berperingkat di mana nilai keseluruhan mencecah RM120,000 melibatkan 600 ahli yang terjejas.