Lelaki ditahan bersama lori, diesel subsidi

Anggota KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa lori yang dirampas daripada suspek.
Anggota KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa lori yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki yang merupakan pemilik dua buah lori ditahan bagi membantu kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Lorong Tanjung Indah, Butterworth pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, S Jegan berkata, lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan pada jam 7.20 petang bersama dua buah lori, 2,000 liter minyak diesel dan beberapa barangan lain bernilai RM40,700.

"Satu pasukan telah menjejaki sebuah lori berwarna merah muatan 3 tan yang mencurigakan sedang mengisi minyak diesel. Selepas menjejaki lori tersebut, kita membuat serbuan dan menemui sebuah lori lagi yang diparkir di tepi jalan di Lorong Tanjung Indah.

"Hasil pemeriksaan, lori pertama iaitu jenama Nissan satu tan mempunyai dua buah tangki plastik berkapasiti 2,000 liter manakala lori kedua iaitu jenama Ford tiga tan mempunyai empat buah tangki plastik berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang lori tersebut dengan ditutupi kain kanvas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati, terdapat kira-kira 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki simpanan yang berada di atas kedua-dua lori tersebut.

"Selain dua buah lori dan minyak diesel tersebut, kita turut merampas enam unit plastik, empat unit 'motor pump', dan 'hose pump'. Lelaki yang juga pemandu lori itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.