Bekas ketua gudang logistik ditahan SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas ketua gudang syarikat logistik tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada Isnin untuk siasatan menerima habuan lebih RM20,000.

Dipercayai habuan itu sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembekalan tenaga kerja bernilai kira-kira RM5 juta bagi tempoh dua tahun.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan umur lewat 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 6 petang.

"Suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan itu ketika bertugas sebagai ketua gudang bagi tempoh antara 2019 hingga 2021," katanya pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

"Permohonan reman suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi, esok (Selasa)," ujarnya.

Artikel Berkaitan: