Siasat segera kes curi nadir bumi

Dr Ismail (kanan) dan Asmirul selepas membuat laporan polis berhubung penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Isnin.
Dr Ismail (kanan) dan Asmirul selepas membuat laporan polis berhubung penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Siasatan menyeluruh dan segera perlu dilakukan pelbagai pihak berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri ini, yang didakwa dilakukan sindiket sejak dua tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit malah boleh mengancam kehidupan manusia yang berkemungkinan terdedah kepada bahan radioaktif dalam REE terbabit.

Menurutnya, pendedahan tersebut membuktikan kepincangan atau berlaku ketirisan dalam urus tadbir kerajaan negeri dan ia wajar disiasat segera.

"Sudah tentu apabila ia berlaku, ada perkara yang tidak kena dalam urus tadbir, agensi atau jabatan terlibat.

"Ini bukan seperti jumpa duit syiling bawah tanah. Untuk melombong, hutan perlu ditebang, digali dengan peralatan mesin, bagaimana boleh berlaku?," katanya selepas membuat laporan polis bersama Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Isnin.

Dr Ismail berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan berhubung pendedahan tersebut.

"Aktiviti sindiket yang memunggah hasil semula jadi ini berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. Aktiviti tersebut terbongkar setelah lori yang membawa REE kemalangan dan terbalik menyebabkan sebahagian guni berisi REE terkeluar.

"Kalau tidak, sampai hari ini pun orang tak tahu ia sudah pun berlaku sejak dua tahun lalu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu, aktiviti mengangkut REE tanpa kebenaran merupakan salah laku jenayah dan tidak boleh dibiarkan.

"Ini adalah perbuatan mencuri, rompak berbilion ringgit. Ia bukan sahaja suatu jenayah, malah kesalahan dari aspek alam sekitar.

"Cuba bayangkan sekiranya guni-guni berisi REE yang ada unsur nadir bumi mengandungi radioaktif mengalir ke dalam sungai. Apa kesan terhadap orang yang menggunakan air tersebut?," soalnya.

Dr Ismail berharap siasatan yang telus dan segera dilakukan berhubung isu berkenaan kerana ia melibatkan banyak pihak, termasuk keselamatan rakyat.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bertanggung jawab dan tampil berikan penjelasan.

"Jangan pula lepas tangan dan cari kesalahan pihak lain seperti kebiasaan. Kita tidak mahu rakyat Kedah tertipu dengan isu besar ini," katanya lagi.

Menurut beliau, isu REE juga pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini.

"Dalam DUN lalu, saya bertanya apa status REE? Menteri Besar jawab, kerajaan negeri telah beri satu kelulusan kepada konsesi untuk meneroka tanah di Bukit Enggang tanpa memberi kelulusan melombong dan seumpamanya.

"Namun bagaimana REE telah dilombong dan dikeluarkan? Mohon Muhammad Sanusi jelaskan untuk pengetahuan rakyat," katanya.

Manakala Asmirul mempersoal kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) oleh syarikat yang beroperasi bagi meneroka nadir bumi berkenaan.

"Adakah mereka mendapat kelulusan EIA? Sekiranya dilakukan secara haram, sudah tentu tiada EIA. Ia akan beri implikasi besar kepada penduduk sekitar kelak," katanya.

Menurutnya, pembangkang bukan membantah usaha meneroka REE sekiranya untuk meningkatkan pendapatan negeri, namun ia perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul.