'Tiada lagi gelak tawa mereka berdua' - Ibu mangsa

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEPANG - Kedua-dua mereka anak yang baik dan tidak pernah melawan kata-kata saya dan suami, demikian luah Nursyakila Hassan, 35, ketika menceritakan mengenai dua anaknya yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Teras Jernang, Sungai Merab pada Jumaat.

Nursyakila berkata, Adam Harish Zamri, 11 dan Adam Haziq Zamri, 10 banyak membantunya dan suami di rumah.

"Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian, mereka berdua memang anak yang rajin.

"Adam Harish selalu tolong goreng cucur pada waktu pagi dan Adam Haziq pula bantu saya buat air, kalau ada yang saya minta tolong mereka berdua, memang mereka tak pernah bantah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Nursyakila berkata, ketika kejadian dua anaknya itu memaklumkan mahu mandi di luar rumah.

Katanya, ketika itu dia berada dalam rumah dan tidak mengesyaki sebarang perkara buruk akan berlaku.

"Mereka mandi bersama seorang lagi anak saya yang bongsu dan ketika itulah, Adam Harish terpegang sebatang besi yang mempunyai arus elektrik.

"Adam Haziq yang melihat keadaan abangnya segera membantu, namun dia juga terkena renjatan, bagaimanapun adik mereka berjaya selamatkan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nursyakila, dia reda dengan pemergian dua anaknya itu biarpun sedih dengan kehilangan mereka.

"Ibu mana yang tidak sedih apabila kehilangan anak, namun saya perlu kuat dan berdoa agar roh kedua anak saya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh.

"Masih terngiang gurauan dan tawa mesra mereka sehingga ke hari ini, saya amat rindukan mereka berdua," katanya.

Pada Jumaat, dua kanak-kanak lelaki yang maut dalam kejadian di Kampung Teras Jernang di sini dipercayai berpunca daripada renjatan elektrik yang mengalir daripada besi penyidai baju.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan pengesahan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati berlaku geseran dari wayar tepi rumah bapa mangsa terus ke zink rumah.