Dua beradik maut terkena renjatan elektrik

Wayar elektrik yang ada pada bumbung rumah dan bersambung dengan ampaian baju menjadi punca kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Gambar kecil: Norazlin Syahidah
Wayar elektrik yang ada pada bumbung rumah dan bersambung dengan ampaian baju menjadi punca kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Gambar kecil: Norazlin Syahidah
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Malang tidak berbau apabila dua orang kanak-kanak lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumahnya di Kampung Teras Jernang, di sini pada petang Jumaat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah terbabit sedang bermain air di luar rumah pada petang Jumaat selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.

"Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

"Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

"Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa ketika ini masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat sini.

Ujarnya, buat masa ini, pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.

Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 0136746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.