Anak bongsu Najib dan Rosmah bertunang

Gambar dikongsikan Puad melalui Facebooknya pada Sabtu.
Gambar dikongsikan Puad melalui Facebooknya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak bongsu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Norashman dilaporkan bertunang dengan gadis pilihannya, Nikola Mulyadi.

Perkhabaran gembira itu dikongsikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi di Facebooknya pada Sabtu.

Mohd Puad berkata, diharapkan Ashman tetap tabah meskipun majlis yang dilangsungkan di Pavilion itu tidak dapat dihadiri oleh bapanya.

Katanya, memang tidak lengkap pertunangan Norashman hari ini yang berlangsung tanpa kehadiran Najib atau bossku namun mengakui ia tetap meriah.

"Ashman yang kebetulan duduk di sebelah saya tetap tenang dan ceria. Dia juga teruja kerana jam 3 petang dia dan tunangnya akan melawat Bossku di Kajang.

"Semoga ALLAH memelihara Bossku. Dia akan kembali dalam perjuangan rakyat, Insya-ALLAH," katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis itu termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.