Lapan nelayan ditahan langgar kawasan perikanan

Op Aman dilakukan hasil aduan awam yang mendapati terdapat kehadiran bot nelayan dari luar di kawasan perikanan berkenaan.
Op Aman dilakukan hasil aduan awam yang mendapati terdapat kehadiran bot nelayan dari luar di kawasan perikanan berkenaan.
A
A
A

KUALA KEDAH - Lapan nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melanggar kawasan perikanan dan lesen tamat tempoh, pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mereka ditahan semasa pemantauan Op Aman dilakukan di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting kira-kira jam 11.13 pagi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu dikesan melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen aktiviti perikanan.

"Kita dapati, dua kesalahan dikesan iaitu melanggar kawasan aktiviti perikanan dan lesen menangguk siput yang telah tamat tempoh pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pemantauan dilakukan hasil aduan awam yang diterima pihak Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan luar di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan telah berjaya menaikkan hasil tangkapan dianggarkan mencecah 700 kilogram.
Pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan telah berjaya menaikkan hasil tangkapan dianggarkan mencecah 700 kilogram.

"Pemeriksaan awal mendapati bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh lapan kru berusia antara 17 hingga 56 tahun itu penuh dengan muatan hasil laut dikenali siput bayam yang dianggarkan sebanyak 700 kilogram,"katanya.

Bot nelayan dan hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM 21,050 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.