DBKL perlu desak pemaju siapkan jalan alternatif

Prabakaran (empat dari kiri) bersama penduduk sekitar Kampung Chubadak menggesa projek jalan alternatif ke Duke disiapkan segera.
Prabakaran (empat dari kiri) bersama penduduk sekitar Kampung Chubadak menggesa projek jalan alternatif ke Duke disiapkan segera.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk Sentul meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendesak pemaju menyiapkan baki pembinaan jalan alternatif dari Kampung Chubadak ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) yang tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Pengerusi Kampung Chubadak, Syed Mashor Syed Mustapha berkata, jalan pintas dengan jarak 200 meter itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik pengguna yang melalui jalan Taman Dato Senu sebagai akses ke pusat bandar dan Batu Muda.

Menurutnya, penyiapan projek itu juga dapat memberikan keselesaan kepada pengguna dan dapat digunakan pada waktu kecemasan.

"Sudah dua tahun projek ini tertangguh alasannya kerana Covid-19, tapi selepas tamat PKP masih tiada kerja dilaksanakan, terbengkalai malah keadaan jalan semakin teruk dari sebelum ini.

"Saya minta DBKL campur tangan dan desak pemaju. Kalau tidak buat begitu, pemaju tidak ambil berat untuk siapkan projek ini," katanya sewaktu turun padang bersama Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran baru-baru ini.

Keadaan jalan alternatif dari Kampung Chubadak ke Duke yang rosak.
Keadaan jalan alternatif dari Kampung Chubadak ke Duke yang rosak.

Syed Mashor berkata, keadaan jalan tidak berturap dan berlubang itu menyebabkan penduduk mengelak menggunakan laluan alternatif berkenaan kerana berbahaya dan bimbang kereta mereka rosak.

"Walaupun keadaan jalan tidak sempurna, namun segelintir penduduk serta pemandu lori masih menggunakan jalan ini bagi menjimatkan masa.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ada juga pengguna yang lebih rela meredah kesesakan trafik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Ahmad Nasir Baba berkata, pihaknya turut menerima rungutan daripada penduduk yang meminta supaya projek jalan itu disiapkan segera.

"Jalan di sini terlalu sesak dari kenderaan yang datang dari pusat bandar dan Bandar Baru Sentul yang menggunakan jalan alternatif Taman Dato Senu menghala ke Batu Muda dan Gombak.

"Disebabkan itu, ada penduduk yang terpaksa menggunakan jalan tidak siap ini kerana tidak sanggup redah kesesakan. Pernah juga berlaku kemalangan.

"Saya sangat berharap pemaju dapat siapkan projek ini, demi keselesaan dan keselamatan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Prabakaran berkata, jalan alternatif ini diluluskan DBKL susulan kepesatan pembangunan dan rumah bertingkat di kawasan sekitar itu.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat rumah lot yang diambil dan pemiliknya telah diberikan pampasan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jalan alternatif itu pada 2018.

Menurutnya, kontraktor telah melaksanakan kerja di tapak berkenaan sebelum tertangguh disebabkan PKP.

"Saya harap projek ini diteruskan semula kerana ia penting buat penduduk sekitar. Pembangunan telah menyebabkan kepadatan penduduk melalui projek-projek kondominium sekitar sini.

"Apabila projek rumah meningkat tetapi tidak disertakan dengan jalan alternatif jalan akan memberikan kesan kepada trafik," katanya.

Katanya, pemaju perlu tunaikan apa yang dijanjikan untuk menyelesaikan sistem jalan di sini dan jangan buat tidak kisah dengan isu ini.

"DBKL juga perlu bertanggungjawab untuk memantau projek ini, mereka ada hak bersuara untuk selesaikan masalah ini," katanya.