Kedah tidak lanjut Kawasan Bebas Niaga

Dr Mohd Hayati (tengah) mendengar penerangan daripada pempamer pada Majlis Perasmian Sambutan 'World Pharmacist Day' Peringkat Negeri Kedah-Perlis di sebuah kompleks beli-belah, di Alor Setar pada Sabtu.
Dr Mohd Hayati (tengah) mendengar penerangan daripada pempamer pada Majlis Perasmian Sambutan 'World Pharmacist Day' Peringkat Negeri Kedah-Perlis di sebuah kompleks beli-belah, di Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak akan melanjutkan tempoh Kawasan Bebas Berniaga yang mula dilaksanakan di Kedah sejak tahun 2020.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tiada perancangan untuk lanjutan tempoh niaga Kawasan Bebas Niaga selepas ia tamat pada 31 Disember tahun ini.

Dr Mohd Hayati menasihatkan peniaga, penjaja atau perniagaan kecil-kecilan di Kawasan Bebas Niaga di negeri ini mencari ruang perniagaan ataupun lokasi tapak niaga baharu dengan segera.

"Kita berharap peniaga terlibat dapat mencari tempat yang selesa untuk berniaga. Kita ada terima permohonan daripada peniaga di kawasan tertentu yang minta (Kawasan Bebas Niaga) sehingga bulan Disember ini.

"Jadi, kita tangguh sehingga akhir tahun ini untuk peniaga di tepi jalan terlibat, namun kita telah maklumkan dari awal sejak enam bulan lepas supaya peniaga cari tempat sesuai dan selesa segera," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan 'World Pharmacist Day' Peringkat Negeri Kedah-Perlis di sebuah kompleks beli-belah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama,Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo ;Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang.

Beliau memberitahu, lanjutan tempoh berniaga di Kawasan Bebas Niaga di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberikan kepada peniaga terlibat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac lepas, kerajaan negeri memutuskan Kawasan Bebas Berniaga yang sepatutnya dilaksana sehingga semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya kerajaan Persekutuan dilanjutkan hingga 31 Disember 2022.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati berkata, peniaga di Kawasan Bebas Niaga diharapkan mengelakkan menjalankan perniagaan di tepi jalan, sekaligus memastikan kawasan lebih selamat dan tersusun.

"Satu bahaya, satu lagi kita tak mahulah (kawasan niaga) jadi tak tersusun dengan tepi jalan ada macam-macam gerai. Jadi nasihat saya supaya cari tempat yang lebih baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau mendapati peniaga tepi jalan di kawasan tertentu seperti Jalan Langgar didapati makin berkurangan berbanding sebelum ini.

Pada 2020, Kawasan Bebas Niaga diwujudkan bagi membantu meringan beban peniaga ketika era Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan pandemik Covid-19.

Kawasan itu membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Kawasan Bebas Berniaga yang dicadangkan beroperasi selama enam bulan bermula 15 November lalu hingga 15 Mei tahun depan dengan bayaran dikenakan sebanyak RM10 sebulan.