Dua individu ditahan samun pelayan restoran

PDRM
PDRM
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan bagi siasatan berkaitan kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah kedai di kawasan Taman Saujana Puchong, Puchong di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan berkaitan kejadian diterima daripada mangsa berumur 43 tahun yang merupakan seorang pelayan restoran.

"Mangsa yang merupakan warga Indonesia mendakwa didatangi beberapa individu yang memecah masuk rumahnya, salah seorang suspek bertindak menendang mangsa.

"Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM76,000 selepas wang tunai kira-kira RM65,000 dan barang kemas milik mangsa bernilai RM11,000 yang disimpan dalam almari pakaian dilarikan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian pada Jumaat.

"Seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan bersama wang tunai berjumlah RM17,000 dan pelbagai barang kemas yang dipercayai dirompak.

"Siasatan awal terhadap suspek mengaku terlibat dalam rompakan tersebut," katanya.

Katanya, polis masih memburu dua lagi individu yang masih bebas.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai penyiasat iaitu Inspektor S Anthony John di talian 012-5043470," katanya.