UMNO pentingkan diri adakan PRU15 tahun ini

Arthur Chiong Sen Sern
Arthur Chiong Sen Sern
A
A
A
JOHOR BAHRU - Hasrat UMNO mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tahun ini disifatkan sebagai pentingkan diri sendiri.

Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Keadilan Johor, Arthur Chiong Sen Sern berkata, UMNO mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik sendiri dan langsung tidak peduli banjir yang diramal melanda hujung tahun ini.

"PRU pada musim banjir akan lebih menyusahkan rakyat untuk keluar mengundi. Ini akan menjadi beban tambahan kepada mereka semasa mengalami krisis bencana. Secara relatifnya ia akan mengurangkan peratusan keluar mengundi juga.



"Saya faham pilihan raya adalah penting untuk mengembalikan mandat kepada rakyat kita tetapi sebagai ahli politik dan wakil rakyat, kita perlu memahami bahawa kebajikan rakyat harus menjadi keutamaan kita," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehlan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sen Sern yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu mempersoalkan tindakan UMNO yang tergesa-gesa mahukan PRU15 termasuk sama ada benar-benar sudah bersedia berdepan pilihan raya dan banjir di setiap negeri.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin UMNO memaklumkan parti itu sudah bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk mengadakan PRU15 lebih awal kerana jentera parti mereka telah melaksanakan persiapan.

"Tetapi secara jujurnya saya ingin bertanya kepada UMNO, pernahkah persiapan awal sebegini dilakukan untuk menghadapi bencana banjir? Rakyat kita menjadi mangsa banjir setiap tahun semasa musim tengkujuh dan tiada tindakan yang berkesan telah diambil sehingga kini untuk mengurangkan kadar tersebut," ujar beliau.

Dakwanya, drama politik lapuk akan diteruskan selepas ini yang sudah bertahun-tahun dilakukan dengan pemberian kit bantuan sementara kepada mangsa banjir sedangkan ribuan rakyat kehilangan orang tersayang semasa banjir.
Artikel Berkaitan:


"Jadi bilakah akan ada penyelesaian kekal atau sekurang-kurangnya langkah proaktif diambil untuk menghadapi krisis banjir ini," soalnya.

Lebih malang katanya, apabila baru-baru ini seorang aktivis disiasat polis hanya kerana telah meluahkan perasaan tentang kesusahan yang dihadapi semasa banjir di kawasan rumahnya termasuk telah kehilangan tiga ahli keluarganya.

Beliau menegaskan, sewajarnya kerajaan memberi tumpuan terhadap masalah negara antaranya kadar inflasi yang meningkat dan krisis ekonomi, semua itu akan meningkatkan kos untuk mengadakan PRU15.

"Kos untuk mengadakan pilihan raya umum akan meningkat dua kali ganda malah mungkin tiga kali ganda juga secara purata. Semua duit pembayar cukai akan digunakan untuk menguruskan perbelanjaan pilihan raya yang dijangka akan meningkat," jelasnya.