Zamihan gagal kes saman fitnah Mufti Perlis

Zamihan (kiri), Dr Mohd Asri (kiri)
Zamihan (kiri), Dr Mohd Asri (kiri)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin gagal dalam kes saman fitnah RM2 juta terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan berbaur fitnah, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan demikian di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, selepas menolak kes saman berkenaan apabila mendapati Zamihan selaku plaintif gagal mengemukakan unsur pertama kes iaitu adanya penerbitan berbaur fitnah.

Sebagai yang mana dihujahkan oleh peguam Mohd Asri selaku defenden, kedua-dua artikel yang dikatakan kenyataan fitnah telah diletakkan dalam Bahagian C Ikatan Dokumen.

“Ini bermakna, penulis artikel kenalah hadir ke mahkamah dan secara rasminya mengesahkan itu adalah tulisan mereka, barulah ia boleh diterima pakai, dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah ini.

“Malangnya, plaintif langsung tidak melakukan hal itu yang mana, saksi-saksi tidak dipanggil bagi membuktikan kewujudan artikel berkenaan,” katanya ketika membaca keputusan penghakimannya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Hakim ini berkata, artikel itu kekal berada di Bahagian C ikatan Dokuman tanpa sebarang rujukan (tidak jua ditanda sebagai dokumen identifikasi) sehingga tamatnya perbicaraan kes tersebut.

Maka beliau berkata, berdasarkan undang-undang, adalah ketara bahawa dalam situsi begini, kedua-dua artikel ini tidak boleh dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah.

Lantaran itu katanya, tiada sebarang bukti untuk mengesahkan penerbitan kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, harus diingat bahawa dalam kes ini, plaintif mendakwa defenden mengatakan kenyataan tersebut kepada wartawan yang kemudian menulis dan menerbitkannya dalam satu makalah.

Oleh demikian, beliau berkata, penting untuk plaintif memanggil wartawan yang mendengar kenyataan tersebut bagi mengesahkan terdapatnya percakapan sedemikian.

Bagaimanapun, Mohd Johan Lee berkata, mahkamah masih boleh menerima pakai keterangan itu sekali pun makalah berkenaan tidak ditanda semasa perbicaraan.

“Namun, tiada sebarang saksi yang dikemukakan oleh plaintif untuk mengesahkan percakapan defendan.

“Tuntutan plaintif gagal dalam segala konteks untuk membuktikan terdapatnya penerbitan dalam kes ini maka tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya.

Selain itu, mahkamah mengarahkan plaintif membayar RM40,000 sebagai jumlah kos kepada defendan.

Dalam kes ini, Mohd Asri diwakili peguam, Mohd Faizal Abdul Rahman dan Fatima Zulaikha Binti Ahmad Bashri manakala Zamihan tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Zamihan memfailkan saman itu Julai 2019 dengan menamakan Mohd Asri sebagai defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Zamihan mendakwa Mohd Asri mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

Satu lagi ialah ketika sesi forum Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA) bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari tahun sama.

Plaintif mendakwa ucapan Mohd Asri itu disiarkan di portal berita dan kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan ia tidak benar selain membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat dan menuntut antaranya ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf daripada defendan, perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.