Korea Selatan kurangkan 10 peratus penggunaan bahan api awam

Semua institusi awam pusat dan wilayah di Korea Selatan dikehendaki melaksanakan langkah penjimatan tenaga, seperti mengehadkan suhu dalaman bangunan dan mematikan lampu luar bangunan. - Foto 123RF
Semua institusi awam pusat dan wilayah di Korea Selatan dikehendaki melaksanakan langkah penjimatan tenaga, seperti mengehadkan suhu dalaman bangunan dan mematikan lampu luar bangunan. - Foto 123RF
A
A
A

SEOUL - Kerajaan Korea Selatan akan menguatkuasakan langkah mengurangkan penggunaan tenaga oleh institusi awam sebanyak 10 peratus mulai bulan depan bagi menangani kos tenaga yang melambung tinggi, kata kementerian kewangan pada Jumaat.

Semua institusi awam pusat dan wilayah dikehendaki melaksanakan langkah penjimatan tenaga, seperti mengehadkan suhu dalaman bangunan dan mematikan lampu luar bangunan, lapor agensi berita Yonhap yang memetik laporan kementerian berkenaan.

"Ekoran unjuran permintaan tenaga yang tinggi pada musim sejuk, selain kemungkinan pengurangan bekalan tenaga dari Rusia, krisis tenaga semasa dikhuatiri berterusan," kata Menteri Kewangan Choo Kyung-ho pada mesyuarat tergempar menteri ekonomi.

Kerajaan juga akan melancarkan kempen di seluruh negara untuk menggalakkan orang ramai menyertai usaha itu, dan kerajaan akan berusaha untuk melaksanakan reformasi struktur ekonomi bagi mencapai kecekapan tenaga, katanya,

Kerajaan juga meminta syarikat-syarikat besar untuk menetapkan matlamat penjimatan tenaga masing-masing dan berjanji untuk mendesak supaya intensif cukai untuk pembangunan teknologi berkaitan, dilanjutkan, menurut Yonhap.

Harga bahan api dunia melonjak berikutan perang yang berpanjangan di Ukraine. Harga gas asli cecair melonjak kepada AS$55 bagi setiap juta unit termal British pada Ogos, berbanding AS$10 pada suku pertama tahun lalu.

Kerajaan Korea Selatan juga berjanji "menormalisasikan" kadar elektrik dan bil utiliti lain untuk menggalakkan penggunaan tenaga cekap, dan memastikan bekalan tenaga yang stabil dengan menghalang firma utiliti awam daripada mengalami kerugian besar.

Yonhap melaporkan awal hari itu, Korea Electric Power Corp. mengumumkan keputusannya untuk menaikkan kos bahan api seunit yang diselaraskan -- bahagian penting daripada kadar elektrik negara -- sebanyak 2.5 won (AS$0.002) setiap kilowatt jam bagi tempoh suku keempat.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah tambahan kepada kenaikan 4.9-won yang diputuskan oleh kerajaan mulai Oktober.

Kerajaan juga memutuskan untuk menaikkan harga gas asli bagi isi rumah sebanyak 15.9 peratus, manakala bagi kegunaan komersial, harga melonjak sehingga 17.4 peratus.

Ia berkata pada mesyuarat itu, Menteri Perindustrian Lee Chang- yang mengaitkan kedudukan tenaga semasa dengan kejutan minyak pada 1970-an, berjanji untuk "menggerakkan semua cara yang ada" untuk menangani krisis selain merealisasikan struktur ekonomi dan perindustrian yang cekap tenaga. - Bernama