Pandangan Malaysia sentiasa neutral, pragmatik: Penganalisis

Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77 di Ibu Pejabat PBB Jumaat lalu. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77 di Ibu Pejabat PBB Jumaat lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York berakhir pada Selasa, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Kenyataan Negara Jumaat lepas mengenai kebimbangan Malaysia terhadap isu global semasa.

Penganalisis menyifatkan mesej Ismail Sabri sebagai kesinambungan suara neutral dan pragmatik Malaysia di pentas antarabangsa, terutamanya pada masa cabaran global yang mendesak termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan, inflasi dan konflik Rusia-Ukraine.

Kebimbangan terbesar Malaysia ialah negara-negara kecil kekal di bawah belas kasihan pihak yang mempunyai kuasa, termasuk ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang mempunyai kuasa veto. Tindakan negara-negara kuasa veto telah menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harimau yang tidak bertaring. Malaysia mahu melihat PBB melaksanakan peranan asalnya dan tidak dirampas oleh mereka yang memegang kuasa veto.

"Malaysia sentiasa menjadi suara neutral dan pragmatik di PBB, dan Ismail Sabri meneruskan tradisi itu," kata penasihat utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun ketika dihubungi Bernama.

Perkara utama dalam ucapan Perdana Menteri termasuk gesaan agar kuasa veto Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dimansuhkan; menyeru negara-negara maju untuk membantu negara membangun yang terjejas oleh perubahan iklim; menangani krisis Palestin; dan mencari penyelesaian kekal untuk krisis Rohingya-Myanmar.

Ei Sun yang juga felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, perdana menteri harus dipuji kerana menyatakan pendirian kukuh Malaysia terhadap krisis Myanmar, yang menjadi kebimbangan bersama seluruh Asia Tenggara.

"Ismail Sabri telah melakukan yang terbaik ketika waktu sukar, iaitu pandemik, untuk mengekalkan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Ismail Sabri menyebut bahawa UNSC tidak mengambil "apa-apa tindakan serius" dalam menangani situasi di Myanmar dan menyifatkan tindak balas badan keselamatan dunia itu sebagai "sangat menyedihkan".

Artikel Berkaitan:

Malaysia telah mengetuai seruan untuk pendekatan yang lebih tegas ke atas junta Myanmar dan agar ASEAN terlibat dengan lebih baik dengan pihak berkepentingan utama Myanmar, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dipilih oleh rakyat Myanmar sebelum rampasan kuasa.

Pandangan yang sama mengenai penyertaan Malaysia dalam UNGA turut dikongsi oleh Prof Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa menghantar mesej yang lantang dan jelas mengenai kedudukannya dalam menekan isu global di persada antarabangsa dan di PBB.

"Sebagai contoh, isu Rohingya. Kita bukan sengaja mencampuri urusan Myanmar tetapi isu pelarian ini memberi kesan kepada Malaysia. Kita kena uruskan pelarian.

"Negara kecil seperti Malaysia,... di mana lagi kita mahu mengadu kalau bukan di peringkat yang lebih tinggi seperti PBB?" katanya.

Zaid, yang juga Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, menarik perhatian kepada konsep "hidup bersama secara aman" untuk menangani konflik antarabangsa yang dibentangkan Perdana Menteri.

"Konsep ini bagi saya perlu diperluas dan dibangkitkan setiap kali kita berada di pentas antarabangsa,” katanya sambil menambah perkara yang penting kepada Malaysia, dan yang perlu dibangkitkan di peringkat antarabangsa, telah disampaikan dengan jelas pada perhimpunan itu.

Sementara itu, melihat kepada pergolakan geopolitik dan ekonomi semasa yang didorong oleh kepentingan diri pihak tertentu, konsep Keluarga Dunia, dilihat boleh menyumbang ketara kepada susunan dunia baharu. Konsep itu merupakan lanjutan yang lebih besar daripada cita-cita Keluarga Malaysia Ismail Sabri yang beliau perkenalkan dalam ucapan perasmiannya semasa beliau mengambil alih kepimpinan negara. - Bernama