Gerakan bimbang pelaburan asing terjejas angkara rasuah

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (gambar kecil: Baljit Singh)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (gambar kecil: Baljit Singh)
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bimbang keyakinan syarikat asing untuk melabur di Pulau Pinang akan terjejas berikutan masalah rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan dalam keadaan membimbangkan di negeri itu.

Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, mengikut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan ini sejak 2019 sehingga kini.

Menurutnya, sekiranya angka yang diberikan itu tepat, ia sekali gus memburukkan imej Pulau Pinang di mata dunia lebih-lebih lagi apabila negeri itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terbaik di Asia.

"Keyakinan syarikat asing untuk melabur di negeri ini akan terjejas. Ia sekali gus tidak dapat merancakkan ekonomi negeri,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Baljit berkata, sekiranya gejala rasuah semakin berleluasa, pentadbiran negara secara keseluruhannya akan terjejas dan segala dasar atau penguatkuasaan akan menjadi lemah.

Beliau berkata, sepanjang 39 tahun Gerakan mentadbir Pulau Pinang dan selain menjadi menteri di peringkat nasional, tiada seorang pun pemimpin parti itu yang pernah dikaitkan atau didakwa dengan rasuah.

Katanya, rekod itu jauh berbeza dengan pentadbiran sekarang.

"Sekarang berlaku pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sehingga ada yang telah didakwa dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Pandemik rasuah adalah musuh negara dan mereka yang terbukti terlibat dengan gejalan ini ini patut dipenjarakan," katanya.

Tambah beliau, rasuah tidak terhad kepada mana-mana parti politik, negeri, agama dan bangsa.

Justeru itu, beliau menyeru segenap lapisan masyarakat di negara ini bersatu melawan rasuah.