Bekalan sukar, peruncit terpaksa catu telur

Norhayati menunjukkan stok telur baharu yang diperoleh daripada pembekal pada Khamis.
Norhayati menunjukkan stok telur baharu yang diperoleh daripada pembekal pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik kedai runcit mengakui bekalan telur agak sukar diperoleh kebelakangan ini menyebabkan mereka terpaksa 'mencatu' telur untuk dijual kepada pelanggan.

Norhayati Abu Bakar, 53, berkata, ia bagi memastikan stok telur yang diperoleh dapat dijual kepada semua pelanggan termasuk mereka yang membeli telur dalam jumlah yang kecil.

"Saya ambil telur daripada pembekal seminggu sekali. Kuantitinya pun tidak banyak dalam 45 papan iaitu 15 papan untuk setiap telur gred A, B dan C.

"Bagi pelanggan yang beli telur untuk berniaga misalnya di kedai makan, saya hadkan beli sehingga tiga papan kerana bimbang pelangan lain tidak dapat," katanya.

Menurut Norhayati, baru-baru ini bekalan telur di kedainya terputus dan stok baharu sampai pada Khamis.

"Sekarang susah nak dapat telur. Banyak tempat juga cari untuk pastikan bekalan telur sentiasa ada. Sebelum ini pernah stok telur tiada di kedai saya sehingga dua minggu. Ramai pelanggan yang cari telur malangnya stok tak sampai.

"Telur yang saya pesan bukan pada seorang pembekal sahaja, banyak tempat juga saya tempah. Kalau ada bekalan, telur akan sampai. Kalau tak ada bekalan itu yang susah," katanya.

Norhayati berkata, telur yang dijual kedainya mengikut harga pasaran iautu RM13.60 (gred A), RM12.30 (gred B) dan RM11.60 (gred C).

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ni harga telur tak menentu. Ada naik ada turun 20 sen. Bekas (sarang) telur pun pembekal sudah kenakan cas iaitu 30 sen bagi setiap satu papan," katanya yang membuka kedai runcit sejak empat tahun lalu.