RISDA bayar RM6.33 juta dividen TSK

Mohd Salim (tiga dari kiri) dan Mohamad (empat dari kanan) menyerahkan mock-cheque kepada wakil penerima Dividen TSK Negeri Sembilan.
Mohd Salim (tiga dari kiri) dan Mohamad (empat dari kanan) menyerahkan mock-cheque kepada wakil penerima Dividen TSK Negeri Sembilan.
A
A
A

Pekebun kecil terima dividen RM590 sebulan daripada RISDA Plantation

Seramai 1,343 orang pekebun kecil sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima dividen Tanam Semula Komersial (TSK) hasil keuntungan daripada projek kebun yang diuruskan RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) sejak Januari hingga Ogos tahun ini yang melibatkan jumlah dividen keseluruhan bernilai RM6.33 juta.

Menurut Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, secara purata, pekebun kecil ini menerima dividen RM590 sebulan bagi tempoh selama lapan bulan.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan RISDA untuk meningkatkan produktiviti kebun-kebun pekebun kecil supaya dapat diuruskan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Dividen TSK RISDA Peringkat Negeri Sembilan 2020 di dewan Universiti Teknologi Mara(UITM) Rembau di sini, pada Khamis.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Kata Mohd Salim, program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan RISDA bagi meningkatkan produktiviti kebun-kebun pekebun kecil supaya dapat diruruskan dengan sebaik mungkin agar dapat memberikan pulangan hasil yang maksimum kepada semua peserta.

Pada masa yang sama, RISDA menyerahkan Kelulusan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Pembangunan Usahawan Bimbingan RISDA Peringkat Negeri Sembilan bernilai RM2.2 juta yang memberi manfaat kepada seramai 388 orang usahawan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Turut diserahkan Kelulusan Projek Agromakanan RISDA yang bernilai RM750,000 dan penyerahan Lori RiSSMART Mobile kepada usahawan bimbingan RISDA, Rosromaizi Kamaruddin yang mengusahakan perniagaan jagung.

RISDA menyediakan pelbagai program dan pakej bantuan bagi meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil di seluruh negara terutamanya yang terjejas akibat penurunan harga getah.

Dalam pada itu, RISDA berharap kerajaan dapat menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

Mohd Salim memberitahu, ia menjadi harapan pekebun kecil memandangkan harga lantai getah sekerap ketika ini ialah RM2.50.

Menurutnya, jika harga lantai getah tidak dapat dinaikkan, kerajaan diharap dapat menaikkan jumlah bantuan musim tengkujuh.

“Untuk pembentangan Bajet 2023 ini, kita minta kerajaan naikkan 50 sen harga lantai getah sekerap yang mengikut pengiraan saya ia melibatkan bajet sehingga RM500 juta," katanya.