Bola sepak 'kosong' tanpa peminat

Tunku Ismail mengadakan sesi bertemu peminat. Foto FB Johor Southern Tigers
Tunku Ismail mengadakan sesi bertemu peminat. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

IBARAT irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, bola sepak ‘kosong’ tanpa peminat.

Begitu hakikat yang perlu diterima kelab dan pengurusan bola sepak untuk kekal relevan, maju dan berjaya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dengan membina hubungan erat bersama kelab penyokong serta peminat.

Banyak lagi faktor lain boleh menjulang sesebuah kelab untuk berjaya seperti kekukuhan kewangan, pengurusan sistematik, kemahiran pemain-pemain dan kekuatan jurulatih, namun elemen peminat tidak boleh dinafikan.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pe-ngurusan bola sepak tempatan perlu memperhebatkan interaksi dengan kelab penyokong dan peminat bagi mewujudkan suasana harmoni serta positif.

Beliau berkata, menerusi hubungan dua hala itu pelbagai perkara, hala tuju dan masa depan pasukan boleh dikongsi bersama peminat, sekali gus mengelak persepsi negatif terhadap kelab.

“Hubungan komunikasi antara kelab dan peminat sudah wujud menerusi pelbagai medium secara bersemuka atau platform media sosial, namun ia perlu dibuat dengan lebih kerap atau berskala.

“Ia bagi memberi peluang kepada pengurusan pasukan memberi penjelasan terhadap sesuatu isu supaya tidak timbul pelbagai tanggapan tidak benar atau persepsi negatif.

“Langkah ini juga mampu menjaga nama baik kelab, pengurusan, jurulatih dan pemain daripada sebarang tohmahan atau cerita tidak benar.

Artikel Berkaitan:

“Jumpa peminat bukan masa pengenalan pemain sahaja. Apabila timbul isu, jadikan media sosial sebagai penghubung, selain lebih kerap mengadakan pelbagai program bersama para peminat,” katanya kepada Sukan Sinar.

Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini dan Selangor pada akhir Ogos mengadakan program bersama peminat secara bersemuka serta menerusi platform media sosial bagi berkongsi pelbagai isu bola sepak tempatan dan hala tuju pasukan.

Pekan berkata, budaya interaksi dalam kalangan warga bola sepak di luar negara adalah berbeza kerana kelab penyokong dan peminat memiliki saham dalam pasukan.

Katanya, mereka bukan sahaja boleh memberikan pelbagai pandangan dan idea, malah mempersoalkan tentang perbelanjaan serta keuntungan kelab.

“Mereka menggunakan aneka medium untuk berinteraksi seperti secara maya dan bersemuka untuk mengikuti perkembangan serta hala tuju kelab,” katanya.