Secure2u dapat kurangkan kes tipu

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengesahan melalui Secure2u oleh Maybank menjelang Jun 2023 dijangka dapat mengurangkan kes-kes penipuan berdasarkan Android Package Kit (APK).

Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, ini disebabkan kebanyakan APK yang digunakan oleh scammer direka untuk membaca kata laluan sekali sahaja (OTP) dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kalau kita bertukar kepada OTP berdasarkan kepada aplikasi seperti Secure2u, SMS tidak akan digunakan sebagai OTP. Jadi, scammer tidak dapat membaca OTP melalui SMS.

“Bagaimanapun, pengguna dinasihati supaya tidak mendedahkan OTP kepada sesiapa yang memintanya, tidak kira melalui panggilan telefon atau WhatsApp,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, dilaporkan Maybank akan beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kaedah pengesahan melalui Secure2u oleh Maybank harus seiring dengan kemajuan keselamatan siber yang ditetapkan dalam negara.

Beliau berkata, jaminan harus diberikan kepada pengguna dan diharapkan ia akan melindungi mereka sepenuhnya.

“Dalam era pemodenan, langkah-langkah piawaian keselamatan harus bergerak selaras dengan ancaman berbentuk digital dan siber yang akan terus mengembangkan modus operandi mereka dengan penggunaan peralatan lebih canggih dalam melakukan aktiviti jenayah.

Artikel Berkaitan:

“Negara harus maju ke hadapan dan kita juga harus berbangga kerana mempunyai elemen kawalan standard yang tinggi melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sistem-sistem perbankan dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) yang sentiasa bersiap sedia melihat ancaman-ancaman terkini,” ujar beliau.

Menurutnya, bank-bank dalam negara juga harus bersama dalam membentuk latihan kebangsaan yang dibangunkan serta melakukan kerjasama dengan agensi dan badan akademik berkepentingan siber dalam negara.

“Selain itu, penasihat keselamatan juga perlu diwujudkan merangkumi aspek fizikal dan siber.

“Kewujudan penasihat keselamatan ini akan membantu mewujudkan sebuah panel seperti panel syariah dalam perbankan yang akan menggariskan langkah keselamatan siber bagi menjamin kebergantungan dan kepuasan maksimum pengguna.

“Ini kerana kalau kita lihat ancaman scammer juga bergerak dengan lebih pantas dan mereka sentiasa mengadaptasikan dengan kaedah-kaedah baharu untuk memastikan mereka dapat menipu pengguna,” ujarnya.