AWER cadang lima langkah tangani krisis tenaga global

Piarapakaran
Piarapakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (AWER) mencadangkan lima langkah untuk kerajaan membuat persediaan bagi menghadapi krisis tenaga global menjelang musim sejuk tahun ini.

Presidennya, S Piarapakaran berkata, antara cadangannya adalah mengambil pendirian negara Asia seperti India dalam aspek jaminan tenaga.

“Objektif utama Malaysia adalah kita mesti memastikan negara kita dapat terus meningkatkan jaminan tenaga kita dan mengurangkan input kos sumber tenaga serta beberapa keluaran hiliran seperti baja.

“Selain daripada itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) boleh mengenakan had keuntungan bagi peningkatan faktor beban loji hidroelektrik yang melebihi faktor beban yang dipersetujui atau dirancang supaya lebih banyak penjimatan boleh disalurkan kepada tarif elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ulas beliau, kerajaan juga mesti mengambil tindakan terhadap para pegawai yang berkaitan atas kegagalan mereka dalam memastikan margin simpanan sentiasa berada pada tahap optimum iaitu pada 22 peratus.

“Pelaksanaan yang salah oleh agensi kerajaan sendiri telah menyebabkan keadaan margin simpanan yang tinggi untuk bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri bersikap adil dan mengambil tindakan terhadap bekas-bekas menteri, para pegawai dan para pesuruhjaya ST dan kementerian tenaga yang telah menyebabkan kesalahan ini,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan had ekuiti asing yang tidak boleh ditarik balik (irreversible foreign equity cap) yang ketat dalam sektor tenaga dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

“Langkah terakhir yang boleh dilaksanakan adalah penangguhan pembinaan loji baharu. Pilihan ini pernah dilaksanakan pada masa lalu untuk memastikan margin simpanan berada pada tahap optimum.

“Justeru itu, kerajaan juga mesti menyemak semula semua projek loji janakuasa yang telah dianugerahkan dan berunding dengan syarikat-syarikat berkaitan untuk menangguhkan pemuktamadan sumber kewangan (financial close) serta Tarikh Operasi Komersial (COD),” ulasnya.