'Tiada siapa nak buat PRU15 ketika banjir' - Tok Mat

Mohamad menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil RISDA sambil diperhatikan Mohd Salim.
Mohamad menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil RISDA sambil diperhatikan Mohd Salim.
A
A
A

REMBAU - Hasrat UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera bukan bermakna parti itu mahu mengadakan pilihan raya ketika musim banjir.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, iklim dunia telah berubah dan sesiapa pun tidak mengetahui sama ada banjir akan berlaku waktu itu atau tidak.

"Kalau ikut tahun lepas, banjir berlaku Januari hingga Mac. Cuaca sudah berubah, iklim dunia sudah berubah.

"Macam mana pembangkang boleh tahu berlaku banjir waktu itu? Dia ada ilmu kasyaf ke?

"Kalau berlaku banjir, bukan seluruh negara yang banjir. Kalau pun banjir misalnya di Kelantan, di kawasan yang terlibat banjir itu kita boleh tangguhkan pengundian, selagi ia masih dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen Tanam Semula Komersil (TSK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Peringkat Negeri Sembilan 2022 di dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mohamad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian di kawasan yang terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peti undi di kawasan itu boleh dikunci dan apabila keadaan banjir sudah reda, hari pengundian boleh dilakukan.

"Banyak orang kata kalau banjir macam mana? Ia tiada masalah kerana SPR ada kuasa.

"Tapi tiada siapa pun nak buat pilihan raya waktu banjir. Pembangkang saja putar belit kata BN nak buat waktu banjir.

"Kita pun manusia juga. Kalau banjir, kita yang turun dulu. Jangan ingat kita tiada sifat prihatin," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung esok, Mohamad berkata, tiada agenda khusus dalam mesyuarat tersebut.

"Saya akan bentangkan laporan jawatankuasa pengurusan saya mengenai keadaan semasa persiapan parti. Terdapat 53 bahagian yang telah dikenal pasti berada dalam keadaan kurang selamat," katanya.

Mengenai perkembangan terkini hubungan UMNO dengan Pas, beliau berkata, masih belum mendapat makluman mengenai perbincangan antara dua presiden parti tersebut.

“Mungkin dalam pertemuan Biro Politik dan Top 5 akan menerangkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan mereka berdua,” katanya.