'Jangan buat PRU15 ketika musim banjir'

Penduduk tidak sanggup berdepan bencana alam dan PRU serentak.

Penduduk merayu kerajaan supaya tidak mengadakan PRU15. Gambar kecil: Dari kiri, Abdul Razak, Yunos, Mohd Fadil dan Norasiah.
Penduduk merayu kerajaan supaya tidak mengadakan PRU15. Gambar kecil: Dari kiri, Abdul Razak, Yunos, Mohd Fadil dan Norasiah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Kangkar Tebrau di sini merayu kerajaan supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semasa banjir kerana tidak sanggup berdepan bencana alam itu dan PRU sekali gus.

Abdul Razak Tarmidi, 62, berkata, tidak sesuai diadakan PRU semasa banjir kerana pengundi sukar keluar mengundi disebabkan jalan utama di kampung itu akan ditenggelami air.

“Kalau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan masa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah adakan PRU semasa musim banjir, keadaan pada masa itu jauh berbeza dengan sekarang.

“Dahulu tidak ada Covid-19, bencana besar jarang berlaku dan ekonomi baik. Pada tahun ini sudah tiga kali banjir berlaku di kampung ini pada Januari, Mac dan tiga minggu lepas,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz pada Rabu.

Dalam pada itu, Yunos Harun, 60, yang mengusahakan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau pula terpaksa menanggung kerugian lebih RM1,000 setiap kali banjir dan berharap PRU15 tidak diadakan tahun ini.

“Kalau diadakan PRU juga, penduduk kampung ini dan kawasan berdekatan yang membuang undi di SK Kangar Tebrau dan Sekolah Agama Kangkar Tebrau akan mengalami kesukaran kerana dua sekolah itu merupakan tempat pembuangan undi.

“Bayangkan dalam keadaan banjir, ke mana pengundi mahu pergi membuang undi apabila dalam keadaan ada jalan terputus hubungan. Macam mana kalau mereka perlu pergi mengundi di kawasan lain,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Suri rumah, Norasiah Abu Bakar, 47, berkata, hujan selama beberapa jam akan mengakibatkan banjir kilat dan pengundi di kawasan terjejas sudah tentu tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi.

Menurutnya, mangsa banjir sudah pastinya tidak akan memberi tumpuan terhadap PRU15 sebaliknya akan memikirkan keselamatan nyawa dan harta benda.

Mohd Fadil Osman, 64, berkata, tidak pernah berlaku pengundi di kawasan tersebut keluar mengundi dalam keadaan banjir.

“Namun jika setiap parti ada menyediakan bot untuk memudahkan pengundi keluar mengundi ketika banjir, itu mungkin tidak mengapa,” jelasnya.