Bekas YDP dituduh kes rasuah luluskan projek di Selangor

Tertuduh dipercayai menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. - Gambar hiasan
Tertuduh dipercayai menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh seorang lagi bekas Yang Dipertua (YDP) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini pada Jumaat.

Menurut sumber, pertuduhan dijalankan selepas SPRM mendapat izin untuk mendakwa individu tersebut yang berkhidmat di salah satu daerah dalam Negeri Selangor.

"Tertuduh yang berusia 48 tahun itu dipercayai telah menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

"23 September lalu, empat individu termasuk dua orang bekas YDP majlis daerah telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas kesalahan menerima suapan dalam pelbagai bentuk untuk meluluskan projek di beberapa daerah dalam Negeri Selangor," katanya pada Khamis.

Pada 23 September, dua bekas YDP iaitu YDP Hulu Selangor dan YDP Kuala Langat termasuk seorang bekas Timbalan YDP Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan menerima rasuah wang, tiket kapal terbang, basikal mahal, wang untuk membeli kereta, telefon pintar iPhone untuk isteri dan teman wanita.

Turut dituduh ialah seorang juru ukur bahan kerana didakwa menerima wang rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.

Pertuduhan tersebut adalah susulan daripada penahanan beberapa individu pada tahun lalu kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sebagai dorongan pemberian projek kepada pihak tertentu.

Sebelum itu, pada 23 Julai tahun lalu, dua bekas YDP majlis perbandaran di Selangor ditahan reman selama enam hari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Turut direman untuk tempoh yang sama ialah seorang kontraktor kerana dipercayai memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Sehari kemudian, seramai dua individu lagi yang terdiri daripada seorang pegawai daerah dan seorang juru ukur bahan ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012.

Manakala juru ukur bahan yang turut ditahan juga dipercayai memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek selain wang tunai hampir RM100,000 serta menerima suapan berbentuk barangan sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain di Selangor.