Wan Saiful persoal pendakwaan kes rasuah tiada motif dendam

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendakwaan kes rasuah terhadap beberapa pemimpin politik tidak mempunyai kaitan dengan dendam.

Beliau membangkitkan persoalan sekiranya kerajaan tiada motif tersebut, mengapa hanya satu parti sahaja yang menjadi sasaran.

“Boleh percaya ke apa yang Anwar kata?

“Kenapa tiada siasatan terhadap mereka dalam kerajaan pimpinan UMNO selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan? Seolah-olah Anwar cuba membuatkan rakyat terlupa bahawa sebenarnya sebelum dia jadi PM, parti yang menerajui kerajaan sebenarnya ialah UMNO?

“Kalau tiada dendam politik, kenapa Anwar jadi bisu sebisu-bisunya mengenai pertuduhan terhadap Zahid Hamidi? Langsung diam seolah-olah itulah insan paling suci yang dia cintai,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Baru-baru ini Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya menyatakan usaha mengheret beberapa pemimpin politik ke mahkamah tiada kaitan dengan dendam.

Meskipun beliau tidak menyatakan ucapan kepada mana-mana pihak secara khusus, namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kritikan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan berikutan pendakwaan terhadap pemimpin mereka di mahkamah atas tuduhan berkaitan rasuah.

Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, tindakan Anwar itu dilihat sebagai lakonan tegas kerana hanya berani berhadapan dengan pihak pembangkang.

“Anwar adalah seorang pendendam tua yang kuku besi,” ujarnya.