Ketahui empat cara untuk kenal pasti penipuan pelaburan

A
A
A
TAHUKAH anda, hampir sejuta rakyat Malaysia tertipu dengan skim penipuan pelaburan atau scam? Macam tak percaya, tetapi itulah realiti yang melanda negara kita.

Menurut laporan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa seramai 974,301 individu kerugian RM3.8 bilion disebabkan skim-skim penipuan yang wujud. Di antara skim penipuan yang popular adalah skim emas, mata wang digital, saham dan perniagaan.

Memang menyedihkan apabila kita melihat akhbar mengenai kisah orang ramai ditipu 'scammers' yang cilik ini. Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, yang bekerja di bandar atau di kampung, yang berpelajaran mahu pun yang bukan semuanya ditipu dengan skim-skim penipuan pelaburan (scam).

Ini kerana sikap tamak manusia itu sendiri, yang mahu hidup senang-lenang tanpa perlu berusaha keras untuk mencari rezeki. Siapa yang tidak teruja dengan janji-janji manis seperti 'labur sekali, dapat duit setiap bulan?'

Akhirnya kita sanggup menyerahkan duit tanpa berfikir panjang. Ada yang bekerja berpuluh tahun, tetapi dengan mudah menyerahkan semua wang simpanan kepada individu yang baru dikenali.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita kena lpasti skim-skim penipuan yang bertopengkan pelaburan ini?

Terima deposit tanpa lesen

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), menerima deposit tanpa lesen yang diberikan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan / Akta Perkhidmatan Kewangan Islam adalah dilarang.

Perkara pertama yang harus disemak adalah, samada syarikat tersebut mempunyai lesen untuk mengambil wang daripada orang ramai. Bukan lesen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lesen Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera daripada Kementerian Kewangan Malaysia (KKM), tetapi lesen daripada BNM.
Artikel Berkaitan:


Kebanyakan daripada mereka akan beritahu bahawa syarikat mereka adalah berdaftar, jadi tak perlu risau. Tapi adakah mereka berdaftar untuk mengambil duit daripada khalayak ramai? Kalau tiada lesen untuk terima deposit tu, cepat-cepatlah jauhkan diri anda.

Untung besar

Kedua, skim pelaburan tersebut menjanjikan pulangan dan keuntungan yang besar. Apakah yang dimaksudkan dengan untung besar?

Cuba kita bandingkan dengan pulangan daripada skim pelaburan popular seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB). Boleh juga bandingkan dengan kadar dividen Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan hibah Tabung Haji (TH). Dah ada jawapannya?

Kini tengok pula pulangan yang dijanjikan skim-skim penipuan pelaburan (scam) tersebut. Kebanyakannya menjanjikan pulangan yang luar biasa tinggi, seperti 10 peratus sebulan atau 50 peratus setahun. Kalau difikirkan secara logik, memang tak masuk akal.

Ramai di kalangan kita yang tewas dengan tawaran untung besar ini.

Tiada risiko langsung

Ada ke pelaburan yang tak berisiko? Jawapannya ada, iaitu dengan bersedekah atau berwakaf. Allah telah berjanji bahawa tidak akan miskin seseorang itu jika beliau bersedekah; malah makin bertambah rezeki.

Tetapi skim penipuan pelaburan (scam) kebanyakannya memberi jaminan bahawa pelaburan mereka tiada risiko langsung. Malah, ianya berkait rapat dengan untung besar.

Biasa dengar istilah ‘High Risk High Return’ kan? Untuk mendapat pulangan yang tinggi, kita perlu mengambil risiko yang tinggi. Kalau risiko kecil, maka pulangannya pun kecil.

Jadi bagaimanakah caranya untuk mendapatkan pulangan yang tinggi, kalau tiada risiko yang terlibat?

Sedangkan peniaga kuih tepi jalan yang popular sekalipun dengan jualan pasti habis setiap hari, jika ditakdirkan pagi tersebut berlakunya ribut petir; pastinya jualan kuih beliau akan terjejas.

Tiada pemegang amanah

Terakhir sekali, pastikan syarikat pelaburan tersebut mempunyai pemegang amanah atau trustee. Ini kerana pengarah syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan duit daripada akaun yang dipegang oleh pemegang amanah.

Perlu ada alasan yang kukuh dan bukti yang jelas. Bukan boleh sesuka hati withdraw atau transfer duit daripada akaun bank dengan begitu sahaja.

Tapi kalau kita terus 'bank in' ke akaun syarikat atau akaun pengarah syarikat, memang gembiralah mereka. Bila-bila nak pakai duit, boleh terus keluarkan daripada akaun bank. Untuk tujuan apa nak guna duit tersebut, pun tak perlu dinyatakan. Dah buat macam duit sendiri pula.

Rakyat Malaysia perlu mantapkan ilmu perancangan kewangan. Kesedaran rakyat Malaysia mengenai ilmu perancangan kewangan masih berada di tahap yang rendah. Sebab itulah pentingnya untuk mendapatkan ilmu daripada sumber yang sahih.

Mari bersama-sama kita berdoa agar rakyat Malaysia terselamat daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan (scam).