Eksekutif jualan didakwa pecah amanah wang syarikat

Sutharshanan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Khamis.
Sutharshanan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang bekas eksekutif jualan syarikat produk makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat lebih RM23,000.

Tertuduh, R. Sutharshanan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, Sutharshanan yang berkhidmat dengan syarikat Cap Keluarga Sales & Services Sdn Bhd didakwa telah melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM23,704.40.

Kesalahan itu dilakukan di Syarikat Cap Keluarga Sales & Services Sdn Bhd di daerah Seberang Perai Tengah dekat sini antara 17 Februari hingga 8 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 14 tahun, dengan sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin dan menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: