Lelaki maki hamun penguat kuasa wanita ditahan

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyerang anggota penguat kuasa yang sedang bertugas di dalam kawasan Petaling Utama, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 24 tahun sekitar jam 5.30 petang.

"Mangsa mendakwa diserang semasa menjalankan tugas sebagai penguat kuasa lebih kurang jam 9.30 pagi pada Isnin apabila dia telah didatangi seorang lelaki tempatan.

"Lelaki berkenaan bertindak memaki hamun menggunakan kata-kata kesat kerana mangsa mengeluarkan saman terhadapnya atas kesalahan lalu lintas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan di sekitar Seksyen 7 di sini oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah pada jam 5 petang Selasa.

Katanya, suspek yang berusia 56 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyerang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan terhadap mangsa.

"Saksi kejadian diminta tampil ke balai atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Yugarajan Raman di talian 0143049419," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: