Lelaki maki ibu, cederakan abang kandung diberkas

Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencederakan abangnya
Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencederakan abangnya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tergamak memaki hamun ibu kandungnya sendiri hanya kerana ditegur lambat keluar dari bilik air dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan 1/112A Taman Bukit Angkasa di sini pada Sabtu.

Tindakan suspek itu bagaimanapun cuba dihalang abangnya namun suspek kemudian bertindak luar kawalan apabila turut memukul mangsa menggunakan getah paip, pisau dan sebatang besi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek bertindak memukul abangnya itu disebabkan berang dengan tindakan mangsa yang menegur sikapnya dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.

"Mangsa berumur 24 tahun itu mengalami kecederaan luka dan lebam di bahagian belakang badan, bahu kanan dan tangan kiri.

"Suspek pula yang berumur 23 tahun kemudiannya diberkas sejurus selepas kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, semakan dijalankan mendapati suspek mempunyai tiga rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Selain itu, polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencederakan abangnya," katanya.

Ujar Amihizam, suspek kini direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.