[VIDEO] APM Kedah beri tumpuan Baling, Kulim hadapi MTL

Anggota APM menjayakan Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah menghadapi MTL 2022/2023 di Jeti Semeling pada Rabu.
Anggota APM menjayakan Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah menghadapi MTL 2022/2023 di Jeti Semeling pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah akan memberi tumpuan kepada daerah Baling dan Kulim yang dijangka berisiko paling terjejas berikutan peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, kedua-dua daerah itu diberikan perhatian berikutan data menunjukkan berlaku bencana banjir tiga tahun berturut-turut sejak 2019 ketika perubahan fasa MTL.

Menurutnya, berdasarkan laporan diperoleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Baling mempunyai 53 kawasan hotspot banjir manakala Kulim dikenal pasti mempunyai 25 kawasan hotspot.

"Kita memang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di seluruh Kedah namun tumpuan lebih diberikan di dua daerah ini... laporan JPS menunjukkan, sebanyak 373 kawasan hotspot banjir di Kedah dikenal pasti terutama di Lembangan Sungai Kedah dan Lembangan Sungai Muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memantau Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah menghadapi MTL 2022/2023 di Jeti Semeling pada Rabu.

Berhubung kejadian air pasang besar yang dijangka berlaku di Kuala Kedah dan Kota Kuala Muda pada 28 dan 29 September, jelasnya keadaan itu masih terkawal.

APM menguji kesiapsiagaan anggotanya dalam menghadapi MTL 2022/2023 di Jeti Semeling pada Rabu.
APM menguji kesiapsiagaan anggotanya dalam menghadapi MTL 2022/2023 di Jeti Semeling pada Rabu.

"Jangkaan air naik sehingga 2.8 meter dan 2.9 meter berbanding bawah paras dua meter pada kebiasaan, namun setakat ini, tiada yang membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tetap hantar petugas bagi memberi kelegaan dari sudut psikologi kepada penduduk, jadi mereka tak perlu susah hati, namun harus berjaga-jaga pada arahan pihak berkuasa," jelas beliau.

Dalam pada itu, Awang Askandar berkata, Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah menghadapi MTL adalah bertujuan menguji kelancaran pergerakan, keanggotaan, kemahiran individu dan pasukan, aset serta logistik.

"Kalau berlaku bencana, pasukan ini telah diuji masa simulasi, ini latihan rutin yang kita buat untuk hadapi MTL yang dijangka berlaku bermula November 2022 hingga Mac 2023," ujarnya.