Kaitan alam dan tarikh pilihan raya

No Image Caption
A
A
A

SIRI bencana alam yang melanda negara bermula dengan banjir besar di beberapa negeri penghujung tahun lalu meninggalkan kesan kemusnahan yang cukup besar dan trauma berpanjangan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Dalam kejadian bermula 18 Disember itu, seramai 38,113 keluarga telah dipindahkan ke 1,112 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang melibatkan 136,030 mangsa dari seluruh negara.

Lebih mendukacitakan, dalam kejadian banjir di luar jangka itu turut merekodkan bilangan kematian yang tinggi dengan 55 mangsa terkorban dan dua lagi jasad belum ditemui hingga kini.

Memburukkan lagi keadaan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) lalu berlakunya siri banjir gelombang kedua dan ketiga, kejadian kepala air dan tanah runtuh di beberapa kawasan yang turut memusnahkan harta benda dan kehilangan nyawa.

Terbaharu, banjir berpunca daripada kejadian kepala air di beberapa kampung di daerah Baling, Kedah sehinggakan nama Kampung Iboi yang dahulunya jarang diketahui umum menjadi terkenal.

Ketika kesan bencana lalu masih menghantui sebahagian besar mangsa, kini igauan ngeri ini dijangka muncul lagi berdasarkan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan jangkaan agensi itu, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana MTL aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Artikel Berkaitan:

Siri bencana alam yang berlaku sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa kuasa alam yang makin ‘sakit’ ketika ini tidak boleh dipandang ringan sebaliknya perlu dihadapi dengan persediaan sepenuhnya dari semua aspek.

Melalui pengalaman lalu, setiap kali bencana berlaku terutama banjir, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar untuk pengurusan operasi ketika banjir dan bantuan kepada mangsa terjejas.

Berdasarkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Dewan Rakyat pada Januari lalu, kerajaan telah memperuntukan bantuan RM1.4 bilion untuk mangsa banjir yang melanda negara penghujung tahun 2021.

Ia meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA).

Bantuan Membina dan Membaik Pulih Rumah, Baucar Diskaun Pembelian Alat Elektrik dan Rebat Bil Elektrik dan beberapa bantuan lain bagi meringankan beban golongan terjejas.

Itu tidak termasuk peruntukan tambahan yang berterusan dan bantuan yang disediakan dalam membantu rakyat bukan sahaja kepada mangsa banjir tetapi kepada seluruh rakyat yang terkesan.

Biarpun situasi banjir yang bakal berlaku kali ini belum boleh dijangkakan, kerajaan boleh menjadikan ramalan MetMalaysia sebagai kayu ukur awal dalam mengatur persiapan supaya segala kelemahan dalam menguruskan bencana sebelum ini dapat ditambah baik.

Selain itu, dalam tempoh beberapa bulan ini, tidak sepatutnya ada keutamaan lain misalnya mengadakan pilihan raya umum (PRU) seperti yang didesak sesetengah pihak.

Seperti yang kita semua tahu, PRU (merujuk kepada PRU15) satu perkara besar dalam memilih kerajaan dan melibatkan masa depan negara.

Sudah pasti ia memerlukan persiapan dengan kos tinggi baik dalam aspek pengurusannya, sumber manusia, keselamatan dan logistik.

Mana mungkin dalam berdepan jangkaan berlaku bencana besar, ada cadangan PRU15 hendak diadakan sedangkan pihak-pihak sama khususnya agensi keselamatan juga yang akan terlibat dalam dua peristiwa itu.

Kita juga tidak pasti lagi impak bencana kali ini, kalau buruk tentunya akan mengambil tempoh yang lama untuk pulih dan rakyat yang terkesan juga pastinya tidak ghairah untuk mengundi.

Sebaiknya, PRU15 sesuai diadakan ketika rakyat benar-benar telah bersedia kerana kuasa undi terletak di tangan mereka.

Jika PRU15 diadakan semasa pasca banjir pun, bimbang juga bantuan yang sepatutnya dihulurkan untuk meringankan beban mangsa menjadi modal meraih sokongan oleh parti-parti politik tertentu.

Jangan terlalu yakin, kena lihat kepada keadaan alam juga sebelum tetapkan tarikh pilihan raya.

*Penulis ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang