Polis Perak tumpas kes curi elektrik terbesar, rugi RM1.3 juta

Mohd Yusri menujukkan hasil serbuan yang dilakukan ke atas sebuah kilang di Hutan Melintang dalam sidang akhbar pada Selasa.
Mohd Yusri menujukkan hasil serbuan yang dilakukan ke atas sebuah kilang di Hutan Melintang dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Polis Perak menumpaskan kes kecurian elektrik terbesar tahun ini melibatkan kerugian RM1.3 juta dalam satu operasi di Hutan Melintang pada Isnin.

Operasi sekitar jam 12.30 tengah hari itu dilakukan ke atas sebuah kilang makanan sejuk beku yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2016.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati, kilang berkenaan telah menggunakan elektrik secara haram melalui penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, kesan ubah suai itu menjadikan bil elektrik bulanan yang sepatutnya dijelaskan kilang sebanyak RM90,000 sebulan menjadi lebih rendah sekitar RM15,000 sahaja.

"Semasa serbuan kita dapati terdapat pintasan pada litar arus pendua bagi ketiga-tiga fasa pada terminal alat ubah dengan menggunakan wayar asing.

"Keadaan ini menyebabkan kerugian RM1.3 juta telah dialami oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri (tengah) dalam sidang media pada Selasa.
Mohd Yusri (tengah) dalam sidang media pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, rekod menunjukkan kilang sama pernah dikompaun TNB sebanyak lima kali dengan jumlah keseluruhan RM100,000.

"Namun pihak kilang masih berdegil dan tetap melakukan penyambungan haram sehinggalah tangkapan kita lakukan ini," jelas beliau.

Operasi turut disertai Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama TNB.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penyelia kilang terbabit serta 57 pekerja asing masing-masing warga Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Bangladesh atas kesalahan tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, penyelia berusia 31 tahun itu telah direman selama empat hari manakala pekerja asing ditahan reman selama 14 hari masing-masing bermula Selasa.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.