Melaka cari kaedah tingkat keselamatan murid

Rais (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, di Melaka, pada Selasa.
Rais (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, di Melaka, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung isu kes penculikan kanak-kanak.

Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, pertemuan dua mata itu akan dibuat pada minggu depan untuk mencari kaedah terbaik sekali gus mengurangkan kebimbangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Menurutnya, meskipun langkah pencegahan perlu dimulakan di rumah iaitu sebelum ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah namun pihaknya prihatin dengan kes-kes cubaan culik yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

"Kita di pihak jabatan sentiasa prihatin dengan isu ini dan mesyuarat itu bagi membincangkan kaedah sesuai untuk tingkatkan tahap keselamatan pelajar," katanya.

Rais berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, sehingga kini belum ada sebarang kes berkaitan jenayah itu dilaporkan di negeri ini.

"Tiada kejadian berlaku di Melaka, namun kerajaan negeri memandang serius risiko yang ada dan akan melaksanakan langkah berjaga-jaga," kata beliau.

Media pada Isnin melaporkan seorang bapa di Pasir Puteh, Kelantan mendakwa anaknya nyaris diculik oleh empat lelaki tidak dikenali yang mengajak kanak-kanak itu menaiki sebuah kereta semasa berada di depan sekolah di Selising.

Artikel Berkaitan:

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa kanak-kanak berusia lapan tahun itu sedang menunggu ibunya untuk menjemput pulang dari sekolah. Ends#