KRPPM Polisi Pelarian puji pendirian tegas Malaysia

 Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian memuji pendirian tegas Malaysia mengenai resolusi antarabangsa pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) ke-77 di Amerika Syarikat pada Sabtu.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghantar mesej jelas dari Malaysia kepada masyarakat antarabangsa berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa dan seruan ke arah keamanan global.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sik turut menyokong ketegasan Perdana Menteri dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan global dalam isu konflik peperangan moden.

“Peperangan itu telah mengakibatkan kesengsaraan penduduk dunia, krisis keselamatan makanan dan penambahan jumlah pelarian di dunia akibat peperangan ini seperti mana berlaku di Palestin, Myanmar dan Ukraine.

“Dasar Apartheid diamalkan penceroboh dan pendudukan haram Israel telah mengakibatkan kekejaman dan penindasan tanpa memikirkan prinsip kemanusiaan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Tarmizi menambah, dunia telah melihat kekasaran dan keganasan Israel yang memusnahkan kehidupan penduduk Palestin melalui peperangan, rampasan wilayah dan pemindahan secara kasar merupakan pencabulan hak asasi manusia melampaui batas.

Beliau yang turut melahirkan perasaan kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021, yang mana sikap sambil lewa dan berlepas tangan oleh Majlis Keselamatan dengan menyerahkan situasi ini kepada ASEAN.

“Ia merupakan suatu luahan Malaysia yang jelas untuk memastikan keadilan dunia tercapai termasuk isu pencabulan undang-undang antarabangsa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, krisis politik yang memberikan kesan buruk terhadap pelarian Myanmar daripada etnik Rohingya turut dilihat sebagai isu kemanusiaan yang harus diperhalusi dan diambil berat kuasa-kuasa besar dari negara anggota PBB.

Menurutnya, beliau secara peribadi melihat tindakan pihak tentera Myanmar yang berterusan mengamalkan dasar 'penghapusan etnik' harus dibawa ke muka pengadilan.

“Justeru, gesaan Malaysia terhadap kuasa-kuasa besar supaya tidak terkecuali memberikan tindakan pantas bagi penyelesaian konflik ini dan tidak mengambil tindakan ‘double-standard’ adalah suatu seruan berani yang terpuji demi memberikan keadilan secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berpandangan, laungan keamanan sejagat oleh Ismail Sabri terhadap pergeseran politik dan konflik antarabangsa ini harus diselesaikan melalui pentas dialog dan perundingan.

Tegasnya, langkah ini bertepatan dengan salah satu prinsip Malaysia yang digariskan di dalam Dasar Luar Negara iaitu ′menyelesaikan masalah menerusi rundingan'.

Sehubungan itu, Ahmad Tarmizi menyatakan sokongan penuh gesaan dan tindakan Perdana Menteri dalam mencari solusi bagi semua isu-isu antarabangsa yang telah dibangkitkan dalam ucapan tersebut.