Isu OPV: PAC setuju mulakan prosiding

OPV
OPV
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju untuk memulakan prosiding berhubung perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, kementerian tersebut dan Maritim Malaysia perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen bagi memastikan rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku menerusi jawatankuasa tersebut.

Ujar beliau, prosiding yang diadakan adalah selaras dengan punca kuasa Jawatankuasa itu di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelasnya, tarikh prosiding itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 Organisasi-Organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam mengendalikan prosiding ini.

“PAC akan memanggil KDN dan Maritim Malaysia bagi memberikan penjelasan serta Kementerian Kewangan selain syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal OPV ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah mendesak PAC agar melakukan siasatan berhubung projek OPV itu yang didakwa melibatkan salah tadbir peruntukan sebanyak RM738.9 juta.

Pengerusi PH Negeri Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, siasatan tersebut penting memandangkan ia melibatkan aset Maritim Malaysia yang mempengaruhi keperluan keselamatan untuk melindungi perairan negara.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mempersoalkan bagaimana dua syarikat kejuruteraan yang terlibat dengan pembinaan kapal itu diberikan kontrak sedangkan pihak tersebut berhadapan dengan masalah kewangan.