PIVB kekalkan unjuran IHP Malaysia naik 3 peratus pada 2022

PIVB mengekalkan unjuran kenaikan tiga peratus dalam IHP untuk 2022 berbanding peningkatan 2.5 peratus tahun lepas.
PIVB mengekalkan unjuran kenaikan tiga peratus dalam IHP untuk 2022 berbanding peningkatan 2.5 peratus tahun lepas.
A
A
A

PUBLIC Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan unjuran kenaikan tiga peratus dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk 2022 berbanding peningkatan 2.5 peratus tahun lepas.

Bank pelaburan itu berkata, inflasi keseluruhan bagaimanapun, meningkat dalam beberapa bulan disebabkan sebahagiannya berlaku daripada kesan asas terhadap langkah-langkah sokongan yang dilaksanakan tahun lepas.

"Angka-angka keseluruhan untuk tahun itu masih berisiko lebih tinggi jika gangguan bekalan tercetus semula," katanya dalam nota kajian hari ini.

PIVB berkata, pada masa ini faktor-faktor luaran menjadi semakin sederhana, dengan pertumbuhan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China kehilangan momentum pada suku kebelakangan ini.

"Amerika Syarikat menunjukkan tanda-tanda awal terjejas disebabkan kenaikan kadar Rizab Persekutuan yang berturut-turut bagi menangani tekanan inflasi yang berterusan manakala China pula disebabkan dasar sifar Covid-19 yang telah menyebabkan penutupan sementara untuk beberapa segmen ekonomi yang penting untuk negara,'' katanya.

Pemulihan beransur-ansur dalam sokongan monetari dan fiskal, juga berkemungkinan besar berlaku di seluruh dunia, katanya.

"Aktiviti ekonomi domestik dijangka kekal stabil pada separuh kedua 2022 menjelang 2023, di tengah-tengah tekanan yang hilang akibat gangguan rantaian bekalan dan inflasi global, yang membantu menyederhanakan tekanan dalam permintaan dan kejutan bekalan pada masa hadapan,” tambahnya.

Malaysia mencatatkan kenaikan inflasi sebanyak 3.1 peratus bagi tempoh Januari-Ogos 2022, sejajar dengan jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus untuk 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan itu disebabkan oleh permintaan domestik yang kukuh, harga komoditi yang tinggi dan gangguan kepada rantaian bekalan global.

Pada Ogos 2022, kadar inflasi meningkat 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai. - Bernama