Perak cukup sumber air bersih, terawat

Saarani (tengah) melepaskan anak ikan sebagai gimik perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban pada Isnin.
Saarani (tengah) melepaskan anak ikan sebagai gimik perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban pada Isnin.
A
A
A

LENGGONG - Perak mempunyai sumber air mencukupi bagi menyediakan air yang selamat dan terawat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedudukan itu disokong oleh lembangan Sungai Perak yang menjadi sumber utama bekalan air kepada hampir 2.7 juta penduduk negeri ini.

Menurutnya, sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia itu mempunyai keluasan kawasan tadahan 14,907 kilometer persegi dan panjang 412 kilometer merupakan 70 peratus daripada keluasan negeri.

"Terdapat tujuh lori rawatan air di sepanjang sungai ini yang menjadi sumber utama bekalan air rakyat negeri.

"Kajian pertubuhan antarabangsa, WaterAid mendapati, ramai penduduk miskin di beberapa negara terpaksa berbelanja lebih separuh daripada pendapatan harian mereka semata-mata untuk membeli atau mendapatkan air bagi meneruskan kehidupan.

"Oleh itu kita patut bersyukur kerana Perak cukup bertuah mempunyai sumber air mencukupi bagi menyediakan air yang selamat dan terawat," katanya ketika berucap merasmikan Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat negeri Perak di Dataran Tasik Raban pada Isnin.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Pengarah JPS negeri, Ir Vasukey Palany Kumar.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Perak mempunyai 800 sungai dengan panjang keseluruhan 9,000 kilometer yang dapat dikategorikan kepada 11 lembangan sungai utama dengan luas tadahan melebihi 20,343 kilometer persegi dan panjang 878 kilometer.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi memastikan jaminan kelangsungan sumber air itu terjaga, JPS telah melaksanakan pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan sungai selain aktiviti melindungi nyawa, harta benda serta kawasan pertanian daripada terjejas banjir.

"Tahniah kepada JPS dalam memastikan lembangan sungai ini diurus sempurna untuk keperluan pemeliharaan kuantiti dan kualiti air sungai sebagai sumber air.

"Peranan JPS kepada rakyat, negeri dan negara amatlah besar. Bukan sahaja dalam segi aspek jaminan kelangsungan sumber air tetapi juga menangani bencana banjir," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menetapkan usaha penjagaan denai-denai yang mengalir ke Sungai Perak sebagai satu daripada mekanisme kawalan pencemaran sungai dan risiko banjir.

Jelasnya, perkara itu ditekankan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan sungai-sungai di dalam negeri ini dapat dijadikan tempat rekreasi dan riadah berasaskan alam sekitar bersama keluarga dan komuniti.

"Ini termasuklah aktiviti seperti berbasikal dan memancing serta yang dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi di mana penjaja juga boleh berniaga untuk menambahkan pendapatan mereka.

"Aktiviti ini dapat menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang berniat untuk menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa yang akhirnya menyebabkan pencemaran," katanya.