Pengerusi MIYC Perak terharu terima pengiktirafan negeri

Arvend dan Aimy Nabilla dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Anugerah Perdana Belia Negara 2022 sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak 2022 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di sini pada malam Ahad.
Arvend dan Aimy Nabilla dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Anugerah Perdana Belia Negara 2022 sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak 2022 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di sini pada malam Ahad.
A
A
A

IPOH - Selepas tujuh tahun menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan belia di peringkat antarabangsa, seorang anak muda dari Bagan Datuk terharu pertama kali menerima pengiktirafan di peringkat negeri menerusi Anugerah Perdana Belia Negara 2022.

Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Perak, A Arvend, 28, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan menerima anugerah tersebut yang dianggap sebagai pengiktirafan terbesar oleh negeri kelahirannya.

Beliau pernah menerima Anugerah Kepimpinan Belia Antarabangsa di Thailand, Filipina, Bangladesh, Nepal dan India sebelum ini atas kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan.

Menurutnya, latar belakang dan asal-usul bukan penghalang untuk berjaya sebaliknya menjadi ia inspirasi.

Sebenarnya saya bukan seorang yang datang daripada latar belakang keluarga elit. Bapa saya hanya seorang penjual surat khabar dan ibu saya kerani estet.



"Apabila ramai mak cik dan pak cik di kawasan saya selalu memberikan motivasi supaya membawa nama Bagan Datuk sama ada ke peringkat negeri, kebangsaan mahu pun antarabangsa, nasihat restu dan doa mereka mendorong saya untuk mencapai anugerah ini.

"Kita tidak sepatutnya rasa rendah diri walaupun dari kampung. Kita sepatutnya sentiasa mempunyai motivasi bahawa walaupun anak kampung, kita boleh berjaya seperti orang di bandar," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Perak 2022 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di sini pada malam Ahad yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Arvend dinobatkan sebagai johan kategori individu lelaki anugerah tersebut dengan membawa pulang RM3,000.

Sementara itu, bagi Johan Kategori Individu Wanita Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perak dimenangi Aimy Nabilla Mohamad Yusof, 32.

Aimy Nabilla ketika ditemui mengakui terharu dengan penghargaan yang diberikan dan menganggap ia bukan kejayaan berseorangan tetapi hasil sokongan semua pihak terutama Gabungan Pelajar Melayu Kebangsaan (GPMS).

"Semoga anugerah ini dapat meningkatkan lagi semangat untuk saya berkhidmat kepada masyarakat sebab bukan kita tanya apa yang kita dapat tetapi apa sumbangan yang kita beri kepada masyarakat untuk organisasi belia.

"Paling penting, jangan melakukan sesuatu itu untuk mengharapkan balasan tetapi buatlah seikhlas hati dan jangan berputus asa," katanya.

Aimy Nabilla yang merupakan Yang Dipertua GPMS Teluk Intan turut membawa pulang wang tunai RM3,000.